Malaysia Dateline

Tuntutan Sultan Sulu: Apa di sebaliknya? Ini senarai soalan yang Najib Razak perlu jawab

Ramai yang minta saya kupas isu waris Sultan Sulu menyita aset Petronas di Azerbaijan. Selalunya kes-kes perundangan ini, saya ambil masa untuk kupas kerana banyak perkara perlu diteliti. Banyak fakta dan dokumen perlu diperhalusi.

Namun, sebelum saya nak mengulas penuh, ada banyak persoalan tersirat yang Najib Razak kena jawab. Bukan apa, sebab datangnya dari Najib saya sedikit skeptikal.

Dia mengaku di mahkamah yang dia kena scam sampai negara rugi berbilion. Kalau kita dok percaya lagi cerita mangsa scam ini berulang-ulang, takut kita pun discam sama. Nauzubillah…

Baik, kita mula.

Najib kata dia hentikan bayaran RM5,300 setahun kepada waris Sultan Sulu kerana mereka menyerang Lahad Datu. Untuk rekod, bayaran ini telah dibuat sejak tahun 1879 sehingga tahun 2013.

Selama 134 tahun, waris Sultan Sulu menerima “sewa tahunan” daripada British North Borneo Company, seterusnya oleh British dan selepas itu oleh Kerajaan Malaysia (1963).

Ini soalan-soalan yang kita perlu tanya kepada Najib:

  1. Kenapa agaknya walaupun sejak tahun 1963 waris Sultan Sulu terima bayaran tahunan daripada Malaysia, pada tahun 2013 mereka memberontak dan merusuh di Lahad Datu?

Adakah ada apa-apa tuntutan yang dibuat? Naikkan bayarankah, atau ada yang janji untuk bagi tanahkah?

Kena ingat ya tuan puan, ini bukan cerita teroris. Ini cerita orang yang buat perjanjian dengan kita. Lepas itu tiba-tiba dia amuk. Takkanlah. Apa cerita di sebaliknya?

Kena ingat juga, kerajaan Najib juga merupakan pengantara dan pendamai antara kerajaan Filipina dan kumpulan separatis Moro, MNLF. Yang ada waris Sultan Sulu di dalamnya.

Apa sebenarnya berlaku di sana? Kenapa tidak boleh kawtim dengan mereka? Adakah kerajaan Najib gagal mengawal mereka sehingga mereka merusuh ke dalam negara?

Perlu juga kita tahu ya, Malaysia adalah negara yang memberikan senjata dan training kepada kumpulan MNLF ni sejak sekian lama. Boleh dengar temuramah Nur Misuari dengan Al-Jazeera. Najib disebut banyak kali di dalamnya.

Makanya, apa logiknya, kita bantu mereka, kita jadi pendamai, tiba-tiba mereka menyerang kita? Apa sebenarnya yang tidak diberitahu pada rakyat?

  1. Keputusan Najib dibuat untuk hentikan bayaran tahunan kerana rusuhan itu. Namun, dua soalan yang berkaitan ialah:

A. Adakah dibolehkan dalam perjanjian pemberhentian bayaran tersebut kerana rusuhan Lahad Datu?

Peruntukan mana yang membolehkan sedemikian? Ada analis kata Najib hanya guna “gentleman agreement masa zaman Tunku”. Yang kata boleh dapat bayaran selagi tidak merusuh. Namun, kalau tiada perjanjian bertulis dan saksi berkaitan, mana mungkin mahkamah terima?

Kena ingat ya, masa zaman British, ada waris Sultan Sulu yang menyerang pengkalan British, tapi British masih lagi teruskan bayaran mengikut perjanjian.

Kenapa Najib suka suka tidak mahu bayar? Kalau ya pun nak hukum perusuh, bawa mereka ke muka pengadilan bukannya melanggar terma perjanjian.

B. Bolehkah kita kenal pasti yang merusuh itu merupakan pihak-pihak yang sama yang terikat dalam perjanjian?

Ada kenyataan waris Sultan Sulu yang menerima bayaran bahawa yang merusuh itu bukan waris Sultan yang sebenar. Mereka bertindak atas kemahuan sendiri, bukan mewakili pihak yang menerima bayaran dari Malaysia.

Ada juga artikel yang mengatakan pihak yang merusuh itu menyerang kerana diketepikan haknya untuk berunding dengan Malaysia dan Filipina.

Makanya, kalau dibawa ke mahkamah, adakah pentadbiran Najib ada bukti nyata yang merusuh itu memang orang-orangnya yang kita bayar? Sampai kita perlu hentikan bayaran serta-merta?

  1. Selepas ketegaq taknak bayar pampasan tahunan kepada waris Sultan Sulu pada tahun 2013, apa sebenarnya tindakan yang Najib buat ke atas perjanjian itu.

Dia hantar surat, batalkan perjanjian, dia bawa mereka ke mahkamah? Tiada butirannya.

Tiba-tiba waris Sultan Sulu tidak puas hati dan saman kita di Tribunal Antarabangsa. Itupun kerajaan Najib bolayan hingga mereka menuntut sampai RM65 bilion pula. Ini termasuk untung minyak Sabah.

Hanya kerana RM5,300 setahun, kita terdedah kepada tuntutan RM65 bilion. Tak ke bahana? Takkan tiada cara lain untuk hukum perusuh di Lahad Datu, tanpa bawa implikasi kepada negara?

Najib Razak tidak boleh hanya selektif dalam memberitahu fakta mengenai kes ini. Perkara yang betul-betul patut diperhalusi, betulkah tindakan menghentikan bayaran tahunan itu? Apa justifikasi undang-undang mengenainya?

Banyak yang tersirat yang belum keluar. Beliau sebagai Panglima Bugis, gagah perkasa, kena keluarkan semuanya. Jawab soalan di atas dulu. Baru kita boleh tahu.

Pasal Tommy Thomas pun satu hal juga, saya akan kupas dalam posting seterusnya. Sebab pakcik ni pun bukannya selalu buat tindakan tepat untuk negara. Ada juga yang tidak kena.

Kes ini makin pelik sebenarnya. Yang dirampas oleh waris Sultan Sulu pula aset Petronas yang sudah dijual ke Rusia. Dah seperti rampasan itu wayang dan tidak berjaya pula.

Macam banyak hidden hands dan game di situ yang kita tidak tahu. Lebih afdal kita tunggu juga jawapan Jabatan Peguam Negara.

Satu perkara kita kena tahu, politik ini serupa perang. Perang mendapatkan endorsement/ pengesahan majoriti kita. Makanya seperti perang-perang lain, akan banyak propaganda dan taktik yang mereka tidak mahu kita lihat dan sedar.

Saya selalu cakap sebagai pengundi kita ini bukan macam penyokong bola. Kita nak side kita menang saja.

Sepatutnya, pengundi harus bertindak sebagai referee. Sebelum nak beri kemenangan, tengokkan dulu game mereka ni. Apa taktik yang keluar, bila pula nak kena bagi kad merah?

Ini baru tahap satu pihak buat strike, side satu lagi tak mula defend lagi. Entah gol, entah tidak.

So just chill and relax and enjoy the game. When the time comes we assign the winner, ya.

Wallahu a’alam.