Malaysia Dateline

Recep Tayyib Edrogan

Turki bakal pertingkat usaha liberalisasi visa di EU

Presiden Turki telah mengeluarkan satu pekeliling pada Rabu dalam Warta Rasmi berhubung langkah mempercepat usaha negara itu dalam memenuhi kriteria bagi proses dialog liberalisasi visa dengan Kesatuan Eropah (EU), lapor agensi berita Anadolu.

Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata dialog itu bermula serentak dengan perjanjian kemasukan semula yang ditandatangani pada 16 Dis 2013.

“Bagi memastikan penyempurnaan liberalisasi visa untuk rakyat negara ini, adalah penting untuk mempertingkat usaha bagi memenuhi kriteria yang terdapat dalam Hala Tuju Liberalisasi Visa dan memastikan kesinambungan usaha yang disahkan telah dipenuhi oleh Suruhanjaya Eropah,” menurut pekeliling itu.

Ia turut menekankan kepentingan kerjasama antara institusi dalam proses ini.

Pada Disember 2013, EU dan Turki telah melancarkan dialog itu bagi menghapuskan obligasi visa yang dikenakan ketika ini ke atas rakyat Turki yang melakukan perjalanan ke kawasan Schengen (negara-negara Eropah) untuk lawatan jangka pendek.– BERNAMA