Turki berhasrat tingkatkan pelaburan di MalaysiA, kata Duta

Turki berhasrat tingkatkan pelaburan di MalaysiA, kata Duta

Ankara berhasrat meningkatkan pelaburan di Malaysia sebagai sebahagian inisiatif ‘Asia Anew’ yang diilhamkan negara itu bagi memperbaiki hubungan dengan negara-negara Asia, kata Duta Turki ke Malaysia pada Rabu.

“Kami ingin membina satu keseimbangan di sini, iaitu kami ingin membawa golongan perniagaan Turki ke Malaysia, kami ingin meningkatkan pelaburan kami di sana, dan kami ingin membawanya ke satu tahap baharu ketika menyediakan keseimbangan bersama,” kata Duta Merve Kavakci kepada agensi berita Turki Anadolu di Ankara semasa menghadiri Persidangan Duta-Duta ke-11.

Beliau berkata hubungan rapat antara kedua-dua negara tidak menggambarkan sepenuhnya hubungan ekonomi mereka.

Kavakci berkata lawatan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamed ke Turki bulan lepas perlu dilihat dalam konteks ini.

Beliau turut berkongsi pandangan bahawa antara instrumen paling penting bagi mencapai keseimbangan dalam hubungan perdagangan ialah perjanjian perdagangan bebas, yang mereka usahakan untuk ditambah baik.– BERNAMA