Turki contoh kuasa rakyat

Turki contoh kuasa rakyat

Berdekad-dekad lamanya rakyat Turki cuba keluar dari cengkaman tentera. Walaupun pilihanraya diadakan tetapi tentera senantiasa punya kata putus untuk menentukan siapa menjadi Presiden dan siapa menjadi PM. Sudah beberapa kali kudeta tentera dilakukan seawal tahun 1960, 1971 dan 1980 dan 1996. Rampasan kuasa tentera selalu disambut oleh rakyat kerana mereka melihat tentera sebagai pembela dan pelindung Kemalism yang menjadi ideologi negara sekular Turki.

Kali ini agak berbeza, tentera dilihat sebagai penghalang dan pengkhianat kepada pilihan rakyat. Sejak AK parti menjadi pemerintah sememangnya ketegangan hubungan dengan tentera menjadi kebiasaan yang diterima oleh negara, namun Erdogan berjaya menjinaki keadaan malah banyak perkara yang dilakukan  mencabar status quo budaya Kemalism dalam ideologi pemerintahan.

AK parti secara tidak disedari mencabar larangan wanita bertudung ke Parlimen apabila isteri Erdogan memasuki parlimen bertudung begitu juga institusi Islam yang selama ini disekat kini menikmati kebebasan. Kehendak rakyat Turki yang selama ini terputus dengan Islam dan penghayatannya kini tersambung semula dengan AK parti pimpinan Erdogan menguasai parlimen pada tahun 2002.

Erdogan tidak membawa Islam yang jumud dan sempit kerana jika demikian halnya tidak mungkin ia menikmati sokongan popular rakyat termasuk masyarakat liberal-sekular acuan Kemalism. Islam yang dibawa AK parti  dikaitkan dengan Progresif dan Peduli kepada negara dan rakyat, sehinggakan kelompok yang  progresif dalam PAS satu ketika dahulu pernah dipanggil ‘kelompok Erdogan’ kerana sifat keterbukaan mereka.

Pemerintahan Erdogan telah membawa Turki menjadi negara ke 9 ekonomi terkuat dunia. Perjalanan Turki bukanlah mudah, khusus usahanya selama ini untuk berada dalam kelompok Kesatuan Eropah walaupun dari sudut geografinya sebahagian Turki berada dalam benua Eropah. Turki turut digeruni kerana ia merupakan kuasa kedua tentera terbesar setelah Amerika dalam NATO.

Peranan Turki semakin menjadi penting untuk mengimbangi kuasa dalam krisis Syria dan dasar Amerika di Timur Tengah. Turki memperjuangkan nasib pelarian Syria secara konsisten di sebalik berhadapan dengan ancaman IS dan pemberontakan berdarah Kurdis.

Pemerintahan Erdogan dan AKP dicurigai oleh musuh-musuh dalam dan luar negeri Turki. Dia juga dituduh sebagai menutup kebebasan oleh pembangkang khusus selepas pendedahan skandal Erdogan begitu juga dengan tuduhan menghapuskan Kemalism oleh Tentera.

Di luar negara, Eropah dan beberapa kuasa besar begitu skeptikal terhadap Turki malah secara tidak sedar beberapa mesej berita Barat seolah ‘kecewa’ kegagalan kudeta tempoh hari. Mereka menggambarkan kegagalan itu sebagai kelemahan tentera dan bukan kekuatan sokongan rakyat terhadap kerajaan kuasa pemerintahan awam Erdogan.

Kudeta Tentera gagal menghalang kuasa rakyat yang menjadi aset utama Erdogan dan AKP untuk melakukan inisiatif perubahan. Isu kuasa Presiden yang dituntut oleh Erdogan agar lebih berkuasa dan usaha menjinak kuasa militeri agar kuasa awam menjadi penentu politik diuji dengan kegagalan kudeta. Apakah ini bermakna Erdogan semakin berkuasa ataukah demokrasi rakyat semakin mantap? Itulah yang dibimbangi Eropah antara ruang kediktatoran dan ruang suara rakyat ketika membuat analisa perkembangan terkini di Turki.

Apapun analisanya, kegagalan rampasan kuasa tentera adalah petunjuk kepada kuasa rakyat. Saya rasa tidak mungkin ia adalah petunjuk kepada kuasa Erdogan kerana semua pengaruh termasuk pembangkang kuat Erdogan menyatakan bahawa Turki perlu diselamatkan dari malapetaka rampasan kuasa awam oleh Tentera, ini bukan bermakna mereka menyokong Erdogan dan dasarnya.

Jika ini adalah rumusan analisanya maka pengajaran besar dari pengalaman Turki baru-baru ini adalah petunjuk kepada kuasa rakyat lebih kuat dari ancaman kereta kebal dan dentuman jet tempur yang cuba menundukkan kehendak dan keazaman rakyat. “Hidup Rakyat” bukan sahaja bergema di pentas ceramah tetapi dibuktikan di jalanraya saat negara mengalami krisis rampasan kuasa tentera.

* Penulis adalah Naib Presiden Amanah yang juga Ahli Parlimen Malaysia kawasan Parit Buntar. 

 

COMMENTS

Wordpress (0)