Turki: Kekuatan masyarakat sivil gagalkan rampasan kuasa

Turki: Kekuatan masyarakat sivil gagalkan rampasan kuasa

Pemuda Amanah Nasional (Pemuda Amanah) menegaskan kekuatan suatu masyarakat sivil dan institusi-institusi demokratik amat penting bagi memelihara dan mengekalkan sistem demokrasi sesebuah negara daripada sebarang ancaman yang bertujuan menghancurkannya.

Mengutuk cubaan merampas kuasa oleh tentera di Turki kelmarin, Pemuda Amanah mengucapkan tahniah kepada kerajaan dan rakyat Turki yang bangkit mempertahankan kerajaan sivil Turki yang sah dan seterusnya menggagalkan tindakan yang tidak berpelembagaan tersebut dalam masa kurang daripada 24 jam.

“ Walaupun cubaan kudeta ini didakwa hanya melibatkan sebahagian kecil daripada tentera Turki, ianya telah meragut seramai 60 nyawa yang mana sebahagian besarnya adalah terdiri daripada anggota keselamatan Turki,” kata naib ketuanya Wan Anwar Wan Ibrahim dalam satu kenyataan.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan ketika bercakap dalam perhimpunan di Istanbul tentang usaha merampas kuasa oleh segelintir penyokong Fethullah Gullen dalam tentera, berkata tindakan itu menyalahi undang-undang dan tidak mewakili tentera Turki.

Beliau mendesak rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat, Barrack Obama agar menyerahkan Fethullah Gulen kepada Turki dan menyifatkannya sebagai pemimpin pengganas dan pemimpin rancangan rampasan kuasa yang gagal.

Menurut Wan Anwar, cubaan kudeta secara ketenteraan ini bukan perkara yang baru di Turki kerana cubaan yang sama pernah terjadi pada tahun 1960, 1971 dan 1997.

”Pemuda AMANAH mengingatkan bahawa sebarang usaha untuk menukar mana-mana kerajaan yang sah harus melalui cara demokrasi dan mekanisma yang juga sah dan berpelembagaan serta mengembalikan mandat sepenuhnya kepada rakyat,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)