Malaysia Dateline

Turki tahan 249 kakitangan kementerian luar

Pihak berkuasa Turki mengarahkan 249 kakitangan kementerian luar negara ditahan selepas didakwa berkomplot dengan rangkaian diketuai ulama yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), kata penyiar NTV hari ini.

Fetullah Gulen dituduh menjadi dalang di sebalik rampasan kuasa yang gagal pada 2016, namun menafikan semua dakwaan terbabit.

Pihak berkuasa masih meneruskan operasi bagi mengesan pengikut Gulen yang hidup dalam buangan di Pennsylvania sejak 1999, sejak kegagalan rampasan kuasa pada 15 Julai 2016.

Pejabat ketua pendakwa raya Ankara berkata, pihaknya mengarahkan penahanan 249 kakitangan kementerian luar Turki selepas siasatan mendapati wujud kejanggalan dalam ujian kemasukan lalu ke kementerian itu, lapor NTV.

Ia berkata, setakat ini 78 suspek sudah ditahan dalam operasi di 43 wilayah dan polis masih menjejaki selebihnya.

Lebih 77,000 orang dipenjara sementara menanti perbicaraan, manakala 150,000 kakitangan awam, tentera dan lain-lain dipecat atau digantung kerja sebagai sebahagian daripada proses pemutihan selepas rampasan kuasa.

Kumpulan hak dan sekutu Barat Turki menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan keras itu, menyifatkan Presiden Recep Tayyip Erdogan menggunakan kegagalan pemberontakan itu sebagai alasan untuk menentang sebarang keputusan.

Kerajaan berkata langkah-langkah keselamatan itu perlu berikutan magnitud ancaman yang dihadapi Turki. – Reuters