Malaysia Dateline

Turun had usia pengundi: Kerajaan yakin dapat undi 2/3

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan yakin akan mendapat undi sekurang-kurangnya dua pertiga bagi pindaan Perlembagaan menurunkan had usia pengundi kepada 18 tahun yang akan diusulkan di Dewan Rakyat esok.

Beliau berkata, keyakinan itu disebabkan faktor pembangkang yang memberi jaminan untuk menyokong usul tersebut.

“Kerajaan juga bersetuju dengan cadangan pembangkang untuk membuat pindaan had umur kepada 18 tahun pagi calon pilihan raya.

“Pada bacaan kali pertama sebelum ini, usul pindaan itu hanya sebut tentang hak individu berusia 18 tahun untuk mengundi, tetapi kita tidak masukkan sama ada nama mereka terdaftar secara automatik sebagai pengundi.

“Pembangkang meminta supaya nama individu berusia 18 tahun masuk ke dalam senarai daftar pemilih secara automatik, dan boleh menjadi calon pilihan raya pada usia 18 tahun.

“Pada pertemuan dengan Ahli Parlimen pembangkang hari ini, mereka semua memberi pengakuan akan menyokong pindaan ini setelah ditambah daftar pemilih automatik dan hak menjadi calon pilihan raya pada usia 18 tahun.

“Kita yakin mendapat sekurang-kurangnya dua pertiga undi di Dewan Rakyat. Takkan mereka nak tipu saya,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini, yang turut dihadiri beberapa Ahli Parlimen pembangkang.

Sementara itu, Datuk Seri Ismail Sabri yang juga Ketua Pembangkang mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan pihak kerajaan kerana bersetuju menerima cadangan balas daripada pihak pembangkang.

“Cadangan itu adalah dari segi soal umur pengundi 18 tahun dan pada masa sama, bersetuju untuk menerima cadangan pendaftaran secara automatik dan begitu juga dengan umur calon pilihan raya pada usia 18 tahun,” katanya.