Turun lihat kesengsaraan rakyat ketika PKP Penuh, desak Persatuan Melayu P Pinang

Oleh BORHAN AHMAD

Meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) Penuh atau ‘total lock down’ yang tidak sepenuhnya pada realiti amat mensengsarakan rakyat khususnya mereka yang peniaga kecil dan golongan yang hidup mereka umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Malahan tindakan kerajaan menyambung tempoh PKP Penuh menyebabkan rakyat semakin hilang keyakinan terhadap kerajaan sedia ada.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd Yussof Latiff ketika dihubungi turut berkata, kerajaan sepatutnya turun padang melihat bagaimana golongan marhaen dan berpendapatan rendah terdesak dengan tiada punca pendapatan untuk meneruskan kesinambungan hidup menyara keluarga.

“Seharusnya agensi kerajaan turun padang menjenguk sendiri rakyat yang melarat, peniaga tepi jalan, peniaga kecil tidak dibenarkan menjalankan perniagaan mereka sebaliknya terdapat kilang dan industri dibenarkan beroperasi demi kedudukan ekonomi kerajaan.

“Adalah tidak cukup hanya dengan pengumuman moratorium kerana ia hanya untuk segelintir golongan, sedangkan mereka yang tiada punca pendapatan masih lagi menanggung derita dan sengsara yang berpanjangan, apalagi jika mempunyai tanggungan yang ramai.

“Wujudkan Majlis Perundingan Negara yang terdiri dari pakar-pakar ekonomi, sosial dan pertubuhan bukan kerajaan serta badan kemanusiaan untuk mencari resolusi terbaik bagi mengatasi masalah yang dihadapi rakyat ekoran PKP yang berterusan,” tegas beliau.

Sehubungan itu katanya, kerajaan harus segera mencari jalan dan mendengar nasihat serta pandangan yang dikemukakan supaya kebencian rakyat terhadap kerajaan tidak berterusan dan berlarutan tanpa noktah.