Malaysia Dateline

Turun padang dengar rintihan, bantu rakyat, rutin berterusan AMANAH

Sebagai sebuah parti yang mempunyai iltizam tinggi untuk membela nasib rakyat sekali gus mengharapkan dokongan mereka, AMANAH mengambil pendekatan segera bagi mendengar setiap keluhan maupun rintihan rakyat.

Sehubungan itu Pemuda AMANAH kawasan Permatang Pauh turun padang menyantuni pelbagai golongan masyarakat termasuklah dalam kawasan Dun Permatang Pasir yang kini diterajui oleh wakil rakyat Pas.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil ketika turun padang Ahad lalu menunjukkan komitmen bersungguh-sungguh bagi membantu sedaya mungkin untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi penduduk kawasan terlibat.

Faiz membantu menggunting rambut salah seorang pelajar dalam program gunting rambut percuma di Pusat Khidmat Peduli Rakyat, Dun Permatang Pasir.

“Salah satu tunjang perjuangan AMANAH adalah menyantuni denyut nadi rakyat berdasarkan konsep peduli rakyat.

“Pemuda AMANAH segera mengambil langkah ‘walk the talk’ berpremiskan slogan ‘pemuda bekerja untuk tidak hanya merungut, tetapi lebih mengesan menyelesaikan masalah di bawah’.

“Rakyat hari ini dibebani dengan kos sara hidup yang amat melampau sehingga dianggarkan 26 peratus kenaikan barang dapur, sedangkan gaji tidak naik,” jelasnya.

Faiz menziarahi warga emas Som Ahmad di Kampung Petani, Permatang Pauh baru-baru ini.

Beliau juga berkata, sebelum ini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sendiri telah mengesahkan 50 peratus pencarum adalah di bawah gaji RM2000 sebulan.

Malah ujarnya, dengan kesenjangan gaji dan kos sara hidup, rata-rata rakyat boleh dianggap secara realitinya berada dalam golongan miskin.

“Bagi merealisasikan aspirasi ini Pemuda AMANAH kawasan Permatang Pauh turun padang secara rutin dan tidak berkala atau bermusim.

“Kita menyalurkan sumbangan kepada mereka yang susah dan berhadapan dengan penyakit kritikal seperti lumpuh dan turut menyalurkan bantuan untuk membaiki rumah dan seumpamanya.

Faiz turut mendengar keluhan salah seorang penduduk di Kampung Tok Panjang semasa ziarah peduli rakyat bersama pimpinan AMANAH Permatang Pauh.

“Sebagai parti yang peduli masalah rakyat, konsep ‘Prihatin KBSM’ iaitu kenduri, bersalin, sakit dan meninggal harus dipraktikkan oleh setiap ahli parti.

“AMANAH merupakan parti yang benar-benar berpegang kepada konsep fastabiqul khairat dan ia akan terus diberi penekanan yang meluas bagi manfaat rakyat yang memerlukan,” tegasnya lagi.

Kata Faiz lagi, walaupun kerajaan negeri Pulau Pinang telah menyediakan pelbagai program kebajikan sejak mulai menerajui kepimpinan pada tahun 2008 lalu, namun AMANAH turut ingin menggandakan kepelbagaian kepedulian sedia ada.

“Kenaikan kos sara hidup akibat tadbir urus kerajaan pusat yang terpalit dengan rasuah dan korup menyebabkan nilai ringgit menjunam.

“Manakala kerajaan pula terpaksa bergantung kepada cukai GST yang menganiayai rakyat yang akhirnya memberi kesan kepada peningkatan kos barangan.

“Apa jua bantuan yang dihulurkan oleh pembangkang tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat secara holistik sekiranya kerajaan pusat tidak ditukar,” tambahnya.

Oleh kerana itu katanya, sistem dan polisi yang lemah serta tidak membantu rakyat seperti yang menjadi amalan kerajaan pimpinan Najib kini wajib segera diubah.

“Melalui mandat yang akan diperolehi oleh Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum akan datang sahaja mampu untuk membawa perubahan termasuk menukar polisi menekan yang diamalkan oleh Umno-BN.

“Sejajar dengan itu juga, Pemuda AMANAH kawasan Permatang Pauh meneruskan agenda peduli rakyat termasuklah menyelami seribu satu macam masalah, tribulasi dan provokasi kerajaan sedia ada.

“Yang pasti, ialah kemenangan pada pilihan raya umum ke-14 amat mahal dan paling berharga, ia perlu dinobatkan supaya kepimpinan negara dapat ditunjangi oleh PH,” kata Faiz lagi.