Turun padang pandu Salahudin Ayub jalan tugas Menteri Pertanian

Turun padang pandu Salahudin Ayub jalan tugas Menteri Pertanian
Kerajinan Salahudin turun padang sejak mula dilantik telah memandu beliau dalam membuat keputusan dan perancangan untuk kementeriannya.

Ahli politik yang memegang portfolio menteri, akan datang dan pergi. Tetapi segelintir daripadanya berjaya menghasilkan legasi untuk diteruskan. Malangnya, tidak ramai yang berjaya melakukannya. Jika adapun, kebobrokan kleptokrasi tinggalan Barisan Nasional telah memastikan nama-nama yang bekerja keras ini hanya sekadar dapat dibisikkan kepada pemerintah di Putrajaya.

Sebagai contoh, arwah Ghazali Shafie ialah seorang Menteri Luar Negeri yang hebat. Dasar yang telah digunakannya, seperti ‘equi-distance’ daripada semua kuasa besar dunia ialah dasar yang konsisten terhadap prinsip ‘Non-Aligned Movement (NAM) atau Gerakan Negara-negara Berkecuali, dimana Malaysia ialah sebuah negara ahli.

Malaysia, sebagai sebuah negara dagang 20 terbaik di dunia, mahu terus berdagang sejajar dengan hasrat Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad yang telah menekankan dasar makmur bersama tetangga. Manakala dalam konsep Kesatuan Eropah; Mesra Jiran Tetangga. Manakala di Turki pula, dasar ini lebih dikenali sebagai ‘Tiada Masalah Bersama Negara Jiran’.

Bagi Datuk Salahuddin Ayub pula, seorang graduan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), beliau sebenarnya mempunyai jaringan dan kebolehan yang diperolehi hasil daripada pembelajaran beliau di menara gading terdahulu.

Salahudin mula memasuki Kementerian Pertanian dengan diperhatikan oleh Ketua Setiausaha beliau.

TURUN PADANG

Sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahudin antara menteri yang paling banyak turun padang sebelum membuat sebarang dasar baru kementeriannya.

Dasar-dasar yang dipelopori beliau pula tidak diimplementasikan dalam keadaan tergesa-gesa. Walaupun sebelum ini Bernas, pengimport tunggal beras ke Malaysia, akan ditamatkan subsidinya, Salahuddin arif benar akan tindakan ini tidak akan menurunkan harga beras secara drastik.

Salahuddin, sebagai Timbalan Presiden AMANAH, telah menekankan pendekatan yang cermat lagi strategik. Dasar ini akan mengambil masa dimana lesen Bernas akan diperdebatkan sehingga tahun 2021, pada masa yang sama memberi ruang dan peluang kepada Bernas untuk membuat keputusan samada untuk kekal berada di dalam sektor ini, atau bersama pesaing lain di dalam pasaran, dalam jangka masa 2 tahun setengah.

Malah, dengan memberi ruang kepada Bernas, ini jelas menunjukkan Salahuddin bersikap professional dan tidak berlandaskan emosi semata.

Malah, pendekatan yang memakan masa sebenarnya bukan pendekatan yang tidak sesuai bagi negara seperti Malaysia, di mana dilema sekuriti makanan merupakan isu penting negara, selepas minyak sawit dan getah mendominasi pasaran bahan mentah negara sejak 1970an lagi.

Daripada 2 peratus tanah subur di Malaysia yang digunakan bagi tujuan perladangan, hampir 98 peratus olehnya dikuasai oleh syarikat-syarikat yang mempunyai lebih 500 hektar milikan tanah. Oleh itu, Salahuddin sedar akan risiko yang dihadapi oleh petani-petani kecil, termasuk nelayan yang perlu dibantu.

Dengan pengekalan sistem subsidi ini, pendekatan ini tidak akan mengejutkan pendapatan petani yang bergantung kepada syarikat-syarikat berkaitan.

Kedua, Salahuddin arif bahawa dasar-dasar ini tidak akan mudah difahami dan dikuatkuasakan dalam sekelip mata. Malah, di bawah sudut pandang anti korupsi, beberapa dasar akan dikaji semula demi memastikan integriti kewangan dapat dipulihkan. Salahuddin Ayub juga berbeza dengan menteri sebelum ini, Datuk Ismail Sabri, dimana Salahuddin telah turun ke bawah sebanyak mungkin untuk melawat ladang pertanian dan penternakan.

 

Peranan Kementerian Pertanian yang dipimpin Salahudin amat besar dalam membina negara.

Ladang penternakan di Keningau Sabah sebagai contoh, asalnya hanya mempunyai dua ekor lembu, telah mempunyai sebanyak 500 ekor lembu sekarang. Dalam erti kata lain, Salahuddin telah mengenalpasti dan menggalakkan individu yang tepat untuk berada di dalam industri ini.

Malah Ali Baba, yang memberi tumpuan kepada e-commerce, ialah entiti terawal didekati oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Jika petani-petani di China boleh menjual hasil mereka melalui ruangan Ali Baba, perkara yang sama boleh diaplikasikan di Malaysia – mengambil kira kedudukan strategik Malaysia yang hanya 6 jam ke pasaran dan bandar-bandar besar dunia.

Ketiga, terdapat usaha untuk membentuk agensi yang bertanggungjawab untuk memasarkan buah-buahan tropikal Malaysia, seperti Musang King, nenas MD2, manggis dan pelbagai lagi hasil negara yang boleh dibandingkan dengan harga Grouper dan spesis ikan  Soon Hock, yang terkenal di Sungai Mekong yang telah menjadi sajian terkenal di Taiwan, Hong Kong dan China.

Agro Bank dan agensi baharu yang akan diperkenalkan akan menyokong usaha ini. Malah, perjanjian persefahaman (MoU) juga turut telah ditandatangani bersama dengan Kementerian Pertanian di China.

Walaupun usaha ini mungkin akan memakan masa untuk membuahkan hasil, tetapi usaha melalui MoU ini merupakan usaha pertama dalam mengeksport buah-buahan eksotik Malaysia ke China. Dengan niat murni ini, kejayaan yang cemerlang dapat dihasilkan oleh kementerian Salahuddin Ayub.

Maha antara produk penting Kementerian Pertanian.

 

KESABARAN

Tidak dinafikan lagi, perkara-perkara diatas bukanlah pencapaian yang biasa dan Salahuddin Ayub sedar akan perkara ini. Tetapi ini tidak mengubah Salahuddin yang merupakan tokoh yang sentiasa merendah diri, percaya akan konsep turun padang untuk bersama rakyat. Salahuddin Ayub juga ialah Menteri Pertanian yang berani untuk pergi ke tempat yang hampir tiada siapa mahu.

Sebagai pemimpin yang merendah diri, beliau tidak suka untuk bersorak akan pencapaian kementeriannya terlalu awal. Ini sama seperti produk pertanian, yang hasilnya akan memakan masa.

Di sinilah kesabaran dan usaha berterusan Salahuddin terpancar. Malah, orang muda juga perlu diberi pendedahan tentang kepentingan sektor agrikultur. Malah Salahuddin juga yakin akan kesimpulan dibuat oleh laporan World Bank Development 2008, dimana perlunya untuk menggalakkan rakyat untuk ‘self-sufficiency’ atau mandiri dan bercucuk tanam.

Jika semuanya berhijrah ke bandar, ini akan memberi kesan kepada migrasi kampung-bandar, gaji minima bandar akan terus merudum, dan hanya akan menghasilkan kemiskinan bandar – dimana mereka dapat mengelak daripada semua ini berlaku jika mereka mendapatkan bantuan daripada kerajaan dalam menggalakkan sektor pertanian dan perikanan.

Salahuddin juga sedar terdapat ramai petani dan nelayan mahu berjumpa dengan beliau. Malah, beliau telah memberikan nombor telefonnya kepada yang memerlukan ketika bersiaran dengan RTM 1. Sehingga ke hari ini, beliau tetap berpegang kepada janjinya dan tidak menukar nombor telefon beliau. Pegawai-pegawai beliau juga mudah didekati dan mesra dengan rakyat.

Sekiranya takrifan politik ialah dapat berhubung secara terus, tidak dinafikan lagi, Salahuddin telah menunjukkan kualiti ini tanpa gagal. Beliau juga turut melancarkan Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN) yang memberi ruang dan peluang kepada pakar agrikultur untuk memberi pendapat dan berkongsi pandangan demi memastikan dasar Kementerian kekal berintegriti.

Malah, kementerian ini juga akan membeli tiket penerbangan atas talian, bilamana mereka perlu ke luar negara bagi urusan rasmi, sekaligus sejajar dengan langkah penjimatan negara. Hanya dibawah desakan masa dan ruang, mereka akan menggunakan khidmat agen pelancong.

Prinsip ini semua wajar dipuji dan sifat manusiawi yang terdapat dalam diri Salahuddin dan pegawai-pegawainya. Jika Salahuddin mempunyai masa untuk menulis kertas kerja dan buku-buku yang akhirnya akan diterjemah ke dalam pelbagai bahasa, sudah pasti, dasar-dasar yang dipelopori beliau akan mudah difahami, sekaligus mirip sekali dengan Buku Hijau yang dikarang oleh Tun Abdul Razak.