Malaysia Dateline

‘Turun-turun harga barang, Hidup-hidup hidup rakyat’ bergema di Masjid Kampung Baru

“Turun-turun harga barang, Hidup-hidup hidup rakyat” bergema di perkarangan Masjid Kampung Baru hari ini apabila ribuan pemimpin dan penyokong Parti Amanah Negara (AMANAH) mengadakan piket khas bagi membantah kenaikan harga barangan.

Mereka berhimpun sebaik sahaja selesai Solat Jumaat hari ini bagi membantah kenaikan harga barang yang kini menjadi masalah utama negara.

Antara yang datang adalah Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari, Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad, Ketua Pemuda Hasbie Muda, Setiausaha Agung Datuk Dr Hatta Ramli dan lain-lain.

Sebelum bersurai dengan aman, wakil mereka, Faiz Fadzil membacakan satu deklarasi yang mereka namakan “Deklarasi Kampung Baru” bagi mendesak kerajaan menyelesaikan isu kenaikan harga barang ini.

Tiga tuntutan mereka adalah:-

  1. Kembalikan sabsidi barang makanan yang telah dipotong dan kekalkan sabsidi yang ada.
  2. Hapuskan sistem AP ke atas barangan makanan kerana ia telah menjadi bentuk monopoli.
  3. Adakan sidang khas Parlimen bincang isu harga dan bekalan makanan untuk mencari penyelesaian.

Pengarah Mobilisasi AMANAH, Sany Hamzan ketika memberikan ucapan dalam perhimpunan ini berkata, pihaknya memberikan amaran jika ketiga-tiga tuntutan yang dikemukakan dalam perhimpunan hari ini tidak dilaksanakan selepas 11 hari, mereka akan membuat perhimpunan yang lebih besar pada 16 Julai ini.