Turunkan bendera masing-masing, naikkan bendera PKR, kata Husam

Husam arah turunkan bendera termasuk AMANAH dan naikkan bendera PKR.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Husam Musa mengarahkan semua parti-parti komponen di negeri itu agar menurunkan bendera parti masing-masing dan digantikan dengan bendera PKR.

Arahan ini dibuat serentak ketika Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan PH akan menggunakan satu logo sahaja iaitu logo PKR dalam pilihan raya umum akan datang ini.

Pengumuman itu dibuat Mahathir dalam Jelajah Pakatan Harapan (JPH) di Pasir Gudang, Johor malam ini.

“Saya arahkan semua bendera parti-parti lain diturunkan secara peringkat demi peringkat… gantikan dengan logo PKR,” kata Husam dalam ceramahnya di Kutan, Kota Bharu malam ini.

Beliau juga mengarahkan semua jentera parti PH memberitahu semua penyokong agar mengundi calon PH yang berlogokan PKR dalam PRU 14 ini.

“Kita telah berjaya atasi taktik kotor Najib apabila kita setuju guna logo PKR,” kata Husam merujuk kepada pembubaran parti Bersatu oleh Pendaftar Pertubuhan.

Bagi Husam, kejayaan penggunaan logo ini ini adalah satu bukti penyatuan dan disiplin PH.

“Ini bukti kita bersatu dan disiplin dan layak ambil alih Malaysia dan urus Malaysia sebaik-baiknya,” kata Husam.

8.3
OVERALL SCORE
6 user votes x 9.7