Turunkan ‘bunting’, sila ambil tindakan terhadap DBKL

Turunkan ‘bunting’, sila ambil tindakan terhadap DBKL

Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menurunkan ‘bunting’ Himpunan Penyatuan Ummah yang dipasang di luar lokasi yang diluluskan telah melanggar syarat yang ditetapkan, demikian menurut Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau turut mengingatkan semua sama ada penganjur mahupun pihak berkuasa perlu bertanggungjawab mematuhi peraturan, syarat dan prosedur.

“Mana-mana pihak yang terkilan boleh mengambil tindakan sewajarnya.

“DBKL mengambil tindakan menurunkan “bunting” berasaskan perlanggaran syarat kelulusan. Jika penganjur mendakwa tindakan DBKL tidak sah, sila ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Terdahulu, beliau telah memberi respons awal melalui twitter berdasarkan maklumat yang diberikan oleh DBKL menyatakan salah satu alasan penurunan “bunting” adalah kerana dipasang melebihi had yang diluluskan dan ianya adalah alasan yang sah lagi sahih.

“Jika terbukti tindakan DBKL tidak sah dan bertentangan dengan peraturan, DBKL harus bertanggungjawab dan tindakan tatatertib harus diambil terhadap pelaku terbabit,”ujarnya.

Namun katanya tidak dihebahkan kepada awam betapa “baiknya” DBKL terhadap penganjur untuk tidak mengenakan sebarang bayaran bagi 150 unit “bunting” yang diluluskan untuk majlis berkenaan.

“Tiada siapa kebal atau mengatasi undang-undang dan peraturan. Ini Malaysia ku Bersih,” katanya.

Dalam kenyataan rasmi DBKL pada 12 September 2019 mengesahkan bahawa DBKL telah meluluskan pemasangan iklan tiang lampu (bunting) bagi Himpunan Penyatuan Ummah dari tarikh 6 September 2019 sehingga 15 September 2019 untuk jumlah 150 unit sahaja di lokasi tertentu yang disenaraikan secara khusus.

Walaubagaimanapun, didapati lebih 1,000 gegantung dipasang sekali gus menggambarkan tahap kejujuran pihak terbabit.

DBKL telah menjalankan operasi penurunan “bunting-bunting” yang dipasang di luar lokasi yang diluluskan sehingga menyebabkan penganjur termasuk bekas Perdana Menteri tersentap dan menuding jari kepada beliau sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.