Malaysia Dateline

Turunkan had umur mengundi, anjakan baru amalan demokrasi

Pemuda AMANAH melihat pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi dari 21 ke 18 tahun sebagai satu anjakan baharu dalam amalan demokrasi di negara ini.

Ia juga mematangkan rakyat negara ini tentang hak-hak asasi yang diberikan Perlembagaan Persekutuan.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil.

Jelasnya lagi, mengundi merupakan salah satu hak asasi setiap warganegara, bagaimana pun katanya, apakala orang muda didedahkan lebih awal tentang hak ini, kematangan anak muda akan dibina awal dan mereka diberikan pendedahan tentang pentingnya peranan dalam tatakelola pentadbiran negara.

“Dengan pendedahan awal ini, anak muda akan bersedia lebih awal untuk terlibat dalam urusan politik dan pentadbiran negara kerana penglibatan orang muda amat penting bagi pembangunan negara.

“Mereka juga adalah sebahagian daripada modal insan untuk pembangunan negara setelah polisi dan dasar kerajaan lumrahnya memberi impak kepada kehiduppan anak muda.

“Sehubungan itu anak muda mempunyai lebih banyak peluang untuk berpolitik dan berpartisipasi awal dalam urusan pentadbiran negara,” ujar Faiz lagi.

Walau bagaimana pun katanya, objektif ini tidak akan tercapai sekiranya subjek kenegaraan tidak diajar di sekolah.

Justeru itu sarannya, adalah diharapkan usul meminda had umur dilaksanakan secara komprehensif terutamanya untuk mendidik rakyat khususnya anak muda tentang hak mengundi supaya hak ini tidak dimanipulasi oleh orang politik.

“Usul pindaan had umur tersebut perlu dilihat secara positif dalam mengangkat agenda perubahan.

“Yang paling utama ialah kerajaan meminda undang-undang untuk pendaftaran automatik bagi semua warganegara untuk mengundi, supaya hak ini diamalkan secara adil oleh setiap warganegara.

“Pendaftaran secara automatik ini telah pun dilaksanakan di beberapa buah negara yang lebih jauh kematangan demokrasi seperti di Amerika Syarikat, Jerman dan juga Perancis,” tegasnya.

Beliau juga berkata, mengikut rekod, terlalu ramai warganegara yang layak mengundi tidak berdaftar dan ini merugikan negara kerana hak memilih kerajaan tidak diamalkan secara adil, sedangkan prinsip demokrasi adalah kuasa rakyat untuk menentukan sebuah kerajaan.