Malaysia Dateline

Turunkan harga kit ujian RTK, mudahkan orang ramai buat ujian kendiri

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mencadangkan kerajaan agar menurunkan harga kit ujian RTK yang berharga RM19.90 ekoran ramai lagi rakyat Malaysia tidak mampu membeli kit ujian tersebut.

Beliau berkata, hasil tinjauannya di empat buah pasar pagi di Parlimen Segambut, rata-rata peniaga kebingungan apabila mereka menerima kit ujian tersebut dan ia jelas menunjukkan bahawa mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenai penggunaan kit ujian RTK ini.

Yeoh berpendapat bahawa harga ujian kit itu perlu diturunkan supaya ramai keluarga tidak perlu memilih antara membeli makanan atau melakukan ujian kendiri.

“Berapa ramai keluarga yang mampu memperuntukkan RM40 seminggu untuk setiap ahli keluarga mereka? Oleh itu, meningkatkan kemampuan dan kemudahan untuk kit ujian RTK adalah sangat penting,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Selain itu Yeoh berkata, kerajaan perlu menggerakkan sumber multimedia seperti TV nasional serta papan iklan dan bukannya mempamerkan gambar menteri di papan-papan iklan tepi jalan.

Beliau juga mencadangkan agar SMS dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) digunakan untuk menunjukkan bagaimana menggunakan kit ujian RTK dengan betul, dan elak melakukan spam mesej.

“Bergantung sepenuhnya kepada manual arahan yang dibekalkan bersama kit ujian tidak mencukupi, terutamanya warga emas yang tidak dapat membaca kerana pelbagai faktor.

“Video dalam pelbagai bahasa dengan arahan jelas juga perlu dikongsi kepada orang ramai.

“Kesimpulannya, sebagai persediaan menghadapi Covid-19 sebagai suatu endemik, kemampuan dan kesedaran berkaitan penggunaan kit ujian RTK amat diperlukan oleh kita semua,” katanya lagi.