Turunkan harga matlamat utama Bazar Peduli Rakyat, kata Pengerusi FAMA

Turunkan harga matlamat utama Bazar Peduli Rakyat, kata Pengerusi FAMA

Bazar Peduli Rakyat yang bakal beroperasi di seluruh negara mensasarkan penurunan harga produk pertanian sebagai agenda terpenting.

“Sebahagian besar barang-barang dibeli dengan harga yang begitu murah dari petani yang menjadi pengeluar sedangkan harga di pasaran terlalu tinggi,” kata pengerusi FAMA Sr. Haji Ishak Ismail.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Bazar Peduli Rakyat peringkat negeri Kelantan di RTC Tunjong, Kota Bharu pagi semalam.

Menurutnya sejumlah 349 tapak pasar tani di seluruh negara akan diwujudkan bazar peduli rakyat.

Marina Ibrahim (tengah) menerima replika kunci daripada Pengerusi FAMA Ishak Ismail di majlis pelancaran bazar peduli rakyat di Tunjong.

“Dua tujuan penting kewujudan bazar ini adalah untuk menurunkan hasil pertanian dan meningkatkan pendapatan pengeluar,” katanya.

Bagi mencapai matlamat ini kata beliau, produk yang dipasarkan di bazar berkenaan akan dibawa terus dari ladang-ladang pengeluaran.

“Seperti yang kita saksikan sekejap tadi, tembikai dijual dengan harga RM1 sekilogram sedangkan harga di pasaran sekarang adalah RM2 sekilogram,” katanya.

Program latihan katanya akan dibuat kepada peserta-peserta bazar untuk meningkatkan keupayaan mereka memasarkan barangan bagi menembusi pasar-pasar utama di semua peringkat.

“Latihan juga berkaitan bagaimana mereka bersiap sedia memasarkan barangan ke luar negara,” katanya.

Sebelum itu Ishak melawat gerai peserta-peserta bazar, kemudiannya menyempurnakan gimik pelancaran dengan menyerahkan kunci motosikal roda tiga kepada dua orang penjaja terpilih.

Afendi Ibrahim dari Kota Bharu dan Marina Ibrahim dari Pasir Puteh yang menjaja hasil pertanian menerima kunci daripada beliau sebagai gimik pelancaran bazar.