Turunkan harga minyak bukan beri minyak percuma

Turunkan harga minyak bukan beri minyak percuma

Tindakan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohammad yang mengadakan program pemberian minyak percuma bagi motorsikal 150cc ke bawah di Parlimen Pulai selama 2 jam dari pukul 4-6 petang anjuran Umno Bahagian Pulai, pada Khamis, telah mendatangkan suatu kekeliruan pada masyarakat.

Menurut Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub menyatakan tindakan Nur Jazlan itu dilihat sebagai suatu tindakan bagi meraih semula sokongan di parlimennya sendiri

Salahuddin Ayub

Salahuddin juga membayangkan, tindakan seorang Timbalan Menteri tidak sepatutnya begitu dan Nur Jazlan seharusnya mengambil kesempatan sebagai seorang timbalan menteri untuk menegur kepimpinan yang semakin pincang membebankan rakyat.

Beliau bersama ahli kabinet yang lain sepatutnya mencari jalan menurunkan harga minyak bukan hanya memberi minyak percuma untuk jangka masa pendek sahaja.

“Tindakan Nur Jazlan hari ini adalah tindakan untuk menutup kelemahan beliau yang tidak ‘perform’ dalam menguruskan pentadbiran dan menjaga hati rakyat di bawah parlimen Pulai yang beliau wakili.

“Konsep memberi minyak percuma itu adalah suatu perkara jangka masa pendek dan ia tidak membantu menyelesaikan masalah rakyat yang dibebani sebelum ini seperti kos sara hidup, barangan harga yang meningkat naik dan itu semua adalah masalah jangka masa panjang.

“Nur Jazlan tidak mampu membantu rakyat di parlimen Pulai dan kalau dilihat prestasi pencapaian beliau, Nur Jazlan tidak dapat menyelesaikan beberapa masalah yang berbangkit di parlimen Pulai seperti perumahan mampu milik, permasalahan kampung-kampung tradisi melayu yang tidak selesai, isu Kampung Bakar Batu dan ini semua tidak diselesaikan oleh Nur Jazlan,” kata Salahuddin lagi.

Dalam pada masa yang sama, Salahuddin menyatakan bahawa tindakan Nur Jazlan ini adalah suatu bayangan di mana Belanjawan 2018 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini tidak akan berjaya menyelesaikan masalah utama rakyat.

“Pemberian secara runcit-runcit ini adalah suatu bayangan di mana Belanjawan 2018 yang akan dibentangkan ini tidak akan menjurus kepada pembentukkan untuk menyelamatkan nasib rakyat secara jangka masa panjang.

“Sebagai seorang timbalan menteri tindakan beliau itu adalah mewakili pihak kabinet dan ini jelas menggambarkan bahawa Belanjawan 2018 itu akan hanya menawarkan suatu pemberian secara gula-gula dan itu semua perkara jangka masa pendek kerana Belanjawan kali ini adalah Belanjawan untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 14 akan datang,” ujar beliau ketika ditanya.