Turunkan kos projek, masukkan kuasa beli kepada poket pengguna

Turunkan kos projek, masukkan kuasa beli kepada poket pengguna

MENJELANG BELANJAWAN 2019 HARI INI

Bekas penolong pengurus Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakop, berkata dasar Belanjawan 2019 yang akan diumumkan hari ini mestilah bersifat pro pertumbuhan dengan mengelak daripada keterlaluan dalam berjimat.

Menurutnya, langkah-langkah pengembangan hendaklah dilaksanakan untuk pertumbuhan ekonomi dapat dipertahankan pada kadar empat hingga lima peratus pada 2019 hingga 2020.

Ujarnya, langkah-langkah penjimatan perlu dilaksanakan tetapi bukan dengan menghentikan atau membatalkan pelaksanaan projek awam tetapi penjimatan harus dalam bentuk rundingan harga ke bawah.

“Projek-projek yang overprice, rundingkan semula untuk bawa kos turun kepada paras yang munasabah. Kemudian projek hendaklah diteruskan.

“Ini akan menghadirkan kesan spillover kepada ekonomi dan kesan mutakhirnya pertumbuhan ekonomi akan terangsang. Jangan over dalam berjimat,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Beliau berpendapat kerajaan perlu melaksanakan langkah fiskal yang melawan kitaran memandangkan pertumbuhan ekonomi dunia dijangka akan semakin perlahan pada 2019 hingga 2020.

“Permintaan ke atas eksport Malaysia dijangka berkembang perlahan menyebabkan pertumbuhan ekonomi Malaysia juga akan perlahan.

“Dalam keadaan sektor swasta is slacking, maka sektor awam harus menampung hal ini dengan sektor berbelanja lebih besar.

“Masukkan kuasa beli kepada poket pengguna untuk mereka berbelanja lebih supaya permintaan ke atas barangan dan perkhidmatan meningkat untuk memacu pengembangan aktiviti penggunaan, perkilangan, perkhidmatan dan sebagainya.

“Kesannya, ini akan memberi impetus kepada pertumbuhan ekonomi,” ujarnya yang pernah berkhidmat di Jabatan Ekonomi BNM.

Sehubungan itu, Dr Rosli berkata kerajaan masih mempunyai ruang untuk menaikkan kadar cukai sedia ada dan memperkenalkan cukai baru.

“Namun jalan ini untuk menambahkan hasil kerajaan hendaklah dielakkan. Buat masa ini pelaksanaan cukai SST sudah cukup.

“Tentunya rakyat tidak akan menerima kalau cukai naik atau ada pula cukai baru. Elakkan langkah countercyclical ini,” tegasnya.

Mengulas lanjut langkah untuk memacu perbelanjaan dan merangsang pertumbuhan, beliau mengingatkan Belanjawan2019 perlu mengambil langkah untuk mengembalikan wang negara ke dalam kitaran wang memandangkan fenomena money hoarding berleluasa di Malaysia pada masa ini.

“Perbelanjaan mesti berhemah. Pengurusan hutang negara harus dikemaskan. Bayar hutang terlebih dahulu dan elak daripada membuat hutang baru.

“Nilai pertukaran RM harus diperbaiki. Kerajaan perlu mempertimbang kewajaran dasar pegging dan memperkenalkan langkah kawalan modal,” jelasnya.

Dr Rosli turut mengingatkan Belanjawan 2019 perlu meningkatkan pendapatan kerajaan melalui langkah-langkah nontax termasuk mencairkan harta kerajaan.

“Tanah dan bangunan kerajaan yang kosong mungkin boleh dijual atau diswastakan.

“Langkah membendung insiden mengelak cukai harus dilaksanakan. Tingkatkan penguatkuasaan pungutan cukai. Beri insentif lebih baik kepada pelabur asing dan dalam negeri untuk memastikan sektor pelaburan berkembang,” tambahnya lagi.