Turunkan tambang pengangkutan awam bukan naikkan caj parkir

Turunkan tambang pengangkutan awam bukan naikkan caj parkir

Pemuda Amanah Nasional mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan kenaikan caj parkir sehingga 150 peratus berkuatkuasa semalam.

Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil berkata, kerajaan wajar menurunkan kadar tambang pengangkutan awam jika mahu menggalakkan warga kota tidak menggunakan kenderaan sendiri seperti alasan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurutnya, langkah untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam serta mendidik rakyat tentang kepentingan penggunaan bas, LRT dan teksi juga patut dilakukan bukan menaikkan caj parkir di ibu kota.

“Kerajaan tiada cara lain untuk menjana pendapatan selain daripada mengenakan pelbagai caj yang tinggi ke atas rakyat.

“Alasan Tengku Adnan kononnya kenaikan kadar caj parkir untuk mengelak kesesakan lalu lintas selain alternatif kerajaan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam adalah alasan remeh dan tidak masuk akal,” bidasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menyifatkan sebagai kenaikan ‘gila’, beliau berkata, penduduk di Lembah Kelang terutama golongan pekerja adalah segmen paling terjejas akibat kenaikan mendadak caj berkenaan.

“Mereka juga terpaksa berbelanja lebih untuk petrol dan tol lebuhraya. Ini belum lagi dikira bebanan kenaikan harga barang akibat GST yang dikenakan ke atas setiap segmen rakyat,” tegasnya.

Mengulas lanjut keputusan yang menjejaskan ribuan pemilik kenderaan sendiri itu, Faiz berkata, situasi tersebut berlaku akibat tatakelola pentadbiran negara yang tidak diurus dengan betul dan amanah.

“Ini ditambah pula dengan sistem kewangan negara yang korup telah memberikan impak buruk kepada ekonomi negara. Akhirnya, beban korupsi pemimpin kerajaan perlu ditanggung rakyat tatkala kehidupan rakyat semakin hari semakin susah,” ujarnya lagi.

Tarif baru yang dikuatkuasakan DBKL sejak semalam di pusat bandar itu menyaksikan peningkatan daripada 80 sen sejam kepada RM2 untuk jam pertama diikuti RM3 untuk setiap jam berikutnya.

Bermula 1 Ogos depan, kenaikan caj parkir di zon luar pusat bandar dan pinggir bandar daripada 50 sen kepada RM1 dan RM1.50 sejam pula akan dikuatkuasakan.

TAGS