Malaysia Dateline

Tutup ekonomi secara menyeluruh selepas 4 Februari kalau kes Covid-19 terus melonjak

Kerajaan berhasrat mengumumkan penutupan ekonomi secara menyeluruh selepas 4 Februari sekiranya kes jangkitan Covid-19 terus melonjak.

Kemungkinan itu terkandung dalam surat oleh CEO Dewan Perniagaan Eropah-Malaysia (Eurocham Malaysia) Sven Schneider bertarikh semalam kepada para ahlinya.

Surat itu susulan mesyuarat antara Schneider dengan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Luar Negeri (Miti), Lokman Hakim Ali dan pegawai lain kelmarin.

Antara rumusan dalam mesyuarat “mustahak dan segera” itu menyebut bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) “menyatakan pendirian jelas berhubung penutupan menyeluruh ekonomi”.

“Jika kadar jangkitan tidak berkurang, kerajaan akan mengumumkan penutupan/sekatan pergerakan ketat serta-merta selepas 4 Februari.

“Inilah situasi semasa yang sedang kita hadapi dan Miti meminta semua syarikat, sama ada tempatan atau dari luar, untuk menyertai usaha mengurangkan jangkitan, memutuskan rantaian, dan agar ekonomi terus berjalan,” dipetik surat tersebut.

Untuk rekod, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di tujuh negeri yang sebelum ini dijadual tamat pada 26 Januari ini dilanjutkan hingga 4 Februari.

Keputusan itu dibuat mengikut penilaian risiko dan nasihat KKM selepas tujuh negeri berkenaan masih menunjukkan trend peningkatan kes positif harian Covid-19.

Negeri berkenaan ialah Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kelantan serta Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan).

Menurut Schneider lagi, KKM percaya bahawa sektor perkilangan adalah punca utama jangkitan, dengan 99 kluster setakat ini.

“Oleh kerana asrama pekerja dan kegiatan berkaitan (pengangkutan, kegiatan sosial) terutamanya dikenal pasti sebagai masalah, manakala tapak perkilangan sendiri lazimnya menunjukkan kepatuhan yang memadai, Miti bersama-sama dewan perniagaan bersama-sama membincangkan beberapa langkah yang boleh diambil,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, meluahkan kebimbangannya mengenai peningkatan jumlah kluster membabitkan tempat kerja.

Beliau berkata, peningkatan kluster membabitkan tempat kerja berjumlah 225 atau 64.3 peratus daripada 350 kluster baharu dilaporkan sejak 6 Januari sehingga kelmarin.

Jelasnya, kluster berkaitan perkilangan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 80 kluster diikuti kluster berkaitan pembinaan (53) dan kluster berkaitan perkhidmatan sebanyak 31 kluster.

Surat Eurocham Malaysia itu juga menyarankan syarikat menugaskan sekurang-kurangnya seorang wakil sumber manusia untuk menguruskan dan mengawal selia pekerja asing atau pekerja yang tinggal di asrama penginapan disediakan majikan.

Jumlah kumulatif kes baharu Covid-19 ialah 180,455 kes dengan kes jangkitan tertinggi iaitu sebanyak 4,275 semalam.

Dalam masa sama, kes aktif mencecah 42,769 kes setakat 12 tengah hari semalam manakala jumlah jumlah kes sembuh sebanyak 137,019 kes.