Tutup IPG: Pas desak Maszlee ambil tindakan jika kenyataan, laporan BH tidak benar

Tutup IPG:  Pas desak Maszlee ambil tindakan jika kenyataan, laporan BH tidak benar

Kementerian Pendidikan digesa untuk mengambil tindakan ke atas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) atau Berita Harian (BH) yang didakwa mengeluarkan kenyataan atau laporan tidak tepat mengenai penutupan 21 Institut Pendidikan Guru (IPG).

Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, pendedahan mengenai cadangan tersebut adalah serius kerana bercanggah dengan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) yang hanya memberikan kuasa kepada Menteri atau kelulusan daripadanya untuk menubuhkan dan menyenggara suatu maktab pendidikan guru.

“Adakah Menteri tidak mengetahui langsung mengenai _*”Perbincangan Khas Bagi Memperhalusi Cadangan Akhir Rasionalisasi Agensi Bil. 4/2019 dengan Ketua Setiausaha Negara”*_ yang di dalamnya dikemukakan cadangan tersebut?

Datuk Dr Khairuddin Aman Razali

Apakah kapasiti Rektor IPGM, KPPM dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam perbincangan tersebut?

Kenapakah KPPM mengesahkan – seperti yang dilaporkan BH – bahawa adanya perbincangan dan cadangan tersebut sedangkan Menteri sejak sebelum itu lagi ada memaklumkan bahawa IPG tidak akan ditutup?

Jadi, adakah sebenarnya Menteri yang bersandiwara atau memang ada kerja-kerja membelakangkan Menteri dalam hal ini?,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Dr Khairuddin mendesak KPM memperjelaskan mengenai laporan BH memetik Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia telah mengesahkan cadangan penutupan 21 IPG itu.

Difahamkan, 10 daripadanya akan dijadikan pusat latihan dalam perkhidmatan dan ‘co-exist’ dengan Kolej Vokasional dan Politeknik manakala 11 lagi akan dijadikan Institut Latihan Awam atau untuk tujuan lain.

Manakala baki lagi 6 IPG sahaja dikatakan akan dikekalkan fungsi asalnya untuk melatih bakal guru sekolah rendah yang dikelolakan oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Hari sama Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menafikan dakwaan BH dan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia itu.

Dr Maszlee dipetik berkata, laporan media yang mendakwa 21 daripada 27 Institut IPG akan ditutup secara berperingkat mulai tahun depan adalah tidak benar dan tidak tepat kerana ia keputusan kerajaan terdahulu.

Justeru kata Dr Khairuddin lagi, susulan penafian oleh Dr Maszlee semalam persoalannya sama ada sebenarnya Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia atau BH yang telah membuat kenyataan atau laporan palsu tersebut.

“Saya menggesa supaya Menteri mengambil tindakan ke atas salah seorang daripada mereka sekiranya cadangan tersebut langsung tiada dalam rancangan KPM,” ujarnya.