Malaysia Dateline

Tutup Jalan TAR: Tempoh percubaan bermula April

Rancangan menjadikan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) sebagai kawasan pejalan kaki akan dilaksanakan secara percubaan pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum sepanjang April ini.

Dalam kenyataannya hari ini, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata sepanjang tempoh itu, hanya bas, teksi, polis, bomba, ambulans dan kenderaan penguat kuasa akan dibenarkan melalui jalan tersebut.

Penutupan dari 8 pagi hingga 12 tengah malam itu akan bermula dari Jalan Esfahan berhampiran kompleks beli-belah Sogo hingga ke Jalan Melayu.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur  akan memastikan Lorong TAR dan Lorong Gombak di kiri dan kanan Jalan TAR dikosongkan sepenuhnya daripada penjaja dan halangan.

“Ia bertujuan membolehkan kerja pemunggahan dan penghantaran bekalan dapat berjalan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata penjaja yang sah di kawasan terlibat akan dipindahkan ke kawasan lain di sekitar Jalan TAR selepas kios dibina untuk kegunaan mereka manakala pasar malam dan bazar Ramadan akan dipindahkan ke lokasi baharu yang diumumkan kelak.– BERNAMA