Tutup pintu kemarahan rakyat, kepentingan parti nombor dua

Tutup pintu kemarahan rakyat, kepentingan parti nombor dua

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad mengingatkan tempoh tiga bulan pertama pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sama ada di peringkat Persekutuan dan negeri perlu mengutamakan kepentingan rakyat terlebih dahulu.

Menurutnya, persoalan berkaitan kepentingan parti masing-masing perlu diletakkan di nombor dua bagi mengelakkan rakyat bosan dan marah kepada PH.

“Jangan anggap kedudukan kita sudah mantap. Dalam tempoh tiga bulan pertama ini, kita perlu menentukan pintu-pintu yang menimbulkan kemarahan rakyat ditutup rapat.

“PH perlu dilihat sebagai sebuah kerajaan yang berusaha untuk memenuhi janji mereka kepada rakyat,” tegasnya dalam program Fokus yang disiar secara langsung di Oren TV malam tadi.

Ahli Parlimen Shah Alam berkenaan yang buat kali pertama muncul menerusi slot itu selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) berkata, PH juga perlu berhati-hati dengan strategi BN selepas mengalami kekalahan teruk.

“Kita dalam tempoh tiga bulan pertama ini perlu sentiasa berwaspada. Jangan kita beri mereka (BN) peluru untuk menimbulkan kemarahan rakyat.

“Jangan kita anggap Umno-BN setelah mendapat keputusan (PRU-14), kecewa terduduk tidak akan melawan balik. Mereka menyusun kekuatan mereka, memanggil Adun, MP untuk bersatu kembali menjadi sebagai pembangkang.

“Oleh sebab itu, kalau kita (PH) tersalah langkah, maka merumitkan dan menimbulkan masalah kepada kita,” katanya dalam slot bertajuk, ‘Pasca PRU-14: Kerajaan Baru Putrajaya – Pakatan Harapan.’

Mengulas rasa tidak puas hati tentang mengapa AMANAH tidak diberi jawatan Menteri Besar di Johor dan Perak, Khalid berkata, beliau memahami perasaan tersebut.

“Saya faham ada yang tidak puas hati. Yang penting kita berada dalam keadaan boleh memenuhi janji kepada rakyat.

“Jangan sebab siapa jadi MB, Exco, kita berbalah satu sama lain. Itu menyebabkan rakyat bosan. Sekarang yang terpenting kita jaga suasana, kebersamaan walaupun ada beberapa perkara yang kita tidak setuju, kita rapatkan saf.

“Siapa yang jadi MB, Exco perkara kedua, kita dahulukan tuntutan rakyat, Fiqh Awlawiyat iaitu mana yang utama, diutamakan.

“Tiada gunanya kita berbalah. Kita mengalah sedikit, kita utamakan yang lebih utama, tunjukkan pada rakyat yang kita dalam PH ini bersatu,” serunya.

Khalid berkata, sekalipun jika ada langkah yang sumbang, hal tersebut dapat diperbetulkan jika kerajaan yang lengkap dapat dibentuk terlebih dahulu.

“Kita penuhi amanat rakyat. Yang terpenting kita bentuk kerajan dulu. Langkah yang sumbang boleh diperbetulkan, kalau ada tersilap langkah sekalipun, kita boleh perbetulkan,” jelasnya.

Mengambil contoh kenyataan awal Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang enggan menyalurkan peruntukan kepada Adun BN yang menjadi pembangkang, Khalid berkata, keputusan rakyat perlu dihormati.

“Mereka (Calon BN) dipilih oleh rakyat. Kita kena hormat keputusan rakyat. Mereka dapat peruntukan pun bukan masuk poket mereka. Jadi, tidak bolehlah kita hukum rakyat kerana pilih BN.

“Apa yang kita anggap hak seorang Adun, kita penuhi. Duit itu dikawal dari segi cara kelulusan, ada peraturan, garis panduan, semua akan dipantau.

“Bukan masuk poket tetapi duit itu diguna bagi membantu rakyat. Jadi, langkah sumbang itu (enggan beri peruntukan kepada Adun BN) telah dapat diperbetulkan.

“Apabila sudah ada kerajaan, itu kita boleh corakkan, dalam PH memang ada semak dan imbang agar yang terbaik terlaksana kepada rakyat yang telah keluar mengundi hari Rabu dan terpaksa tunggu berjam-jam (untuk mengundi),” jelas Khalid lagi.

6.6
OVERALL SCORE
4 user votes x 8.3