Tutup sekolah Tahfiz: Tindakan keterlaluan, tidak wajar, kata Armada Bersatu

Tutup sekolah Tahfiz: Tindakan keterlaluan, tidak wajar, kata Armada Bersatu

Muhammad Shameer Muhammad Sulaiman

Tuntutan supaya pusat tahfiz ditutup amat keterlaluan dan tidak wajar disokong sama sekali kata,  Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Pulau Pinang, Muhammad Shameer Mohamed Sulaiman.

Beliau turut mempersoalkan kenapa pusat tersebut perlu ditutup sepertimana yang disarankan oleh sesetengah pihak sedangkan telah terbukti ia dapat melahirkan serta mendidik untuk membentuk peribadi manusia menjadi insan yang mengamalkan tuntutan agama Islam.

Ujarnya lagi, masyarakat yang beranggapan pusat atau institusi tahfiz akan menyebabkan generasi muda khususnya orang Melayu dan Islam menjadi mundur adalah tidak tepat dan menyimpang sama sekali.

“Institusi tahfiz seperti sekolah tahfiz dan maahad tahfiz kini tidak seperti zaman sebelum merdeka lagi.

“Kini sudah wujud institusi tahfiz yang turut mengajar kemahiran, akademik dan juga ko-kurikulum yang lebih hebat serta memberi peluang kepada pelajar mereka untuk menduduki SPM dan diploma serta ke peringkat yang lebih tinggi.

“Seharusnya penambahbaikan dari segi infrastruktur, keselamatan, silibus dan sukatan pelajaran diperkasakan dan diberi nafas baru, ” jelasnya lagi.

Malah beliau juga berkata, sistem yang lebih teratur dan moden boleh diimplimentasikan oleh kerajaan sejajar dengan kemajuan teknologi mengikut peredaran zaman agar ia lebih relevan pada masa kini.

Tambahnya lagi, usaha bagi memartabatkan institusi tahfiz sepatutnya diberi dokongan oleh semua golongan masyarakat khususnya badan korporat, profesional serta pertubuhan bukan kerajaan.

“Pelajar tahfiz memerlukan sokongan dan pembelaan dari pemerintah agar mereka dapat dilahirkan sebagai pelajar yang moderat dan mampu membina bersama negara ini dalam pelbagai aspek.

“Perlu dinasihatkan kepada mereka yang sering mencanangkan agar insititusi tahfiz ditutup supaya muhasabah diri dan melihat perkembangan terkini yang berlaku dalam negara.

“Sepatutnya desakan harus dibuat supaya pusat-pusat hiburan, pusat judi dan maksiat yang tumbuh bagai cendawan pada masa ini serta memudaratkan generasi muda ditutup dan bukan sebaliknya” tegasnya lagi.

Baru-baru ini bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin mencadangkan agar sekolah tahfiz ditutup kerana didakwa tidak mempunyai masa depan bagi pelajar-pelajar institusi tersebut serta berlaku beberapa penyelewengan.

Sejajar dengan itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa turut menyatakan tidak akan melaksanakan saranan tersebut sebaliknya memperkasakan lagi institusi tahfiz tersebut melalui beberapa prosidur.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS