TV3 dituntut tarik balik berita tidak betul dan putar belit

TV3 dituntut tarik balik berita tidak betul dan putar belit
Khalid turun lagi ke Jalan Tuanku Abdul Rahman bagi membincangkan pelaksanaan Pedestrian Walk atau kawasan pesiar jalan kaki.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad mendakwa TV3 melalui Buletin Utamanya jam 8 malam tadi telah memutar belitkan kenyataan beliau hari ini.

Dalam satu kenyataannya sebentar tadi, Khalid berkata, berita mengenai Pedestrian Walk di Jalan Tuanku Abdul Rahman itu bukan sahaja tidak betul bahkan memutarbelitkan kenyataan beliau.

“Saya menafikan sepenuhnya laporan Buletin Utama TV3 yang disiarkan jam 8 malam ini di mana saya dikatakan telah menarik balik cadangan menjadikan Jalan Tuanku Abdul Rahman kawasan Pedestrian Walk.

“Berita itu bukan sahaja tidak tepat dari segi apa yang saya katakan bahkan memutarbelitkan kenyataan saya,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menuntut TV3 memperbetulkan laporan Buletin Utamanya dan menarik balik laporan yang tidak benar itu.

Khalid turut bertemu dengan Tan Sri Rais Yatim ketika turun ke Jalan Tuanku Abdul Rahman petang tadi.

Menurut Khalid, apa yang beliau katakan adalah DBKL sedang membuat penilaian terhadap cadangan untuk menjadikan Jalan Tuanku Abdul Rahman sebagai Pedestrian Walk.

“Buat masa ini DBKL sedang mengkaji pilihan pelaksanaannya dan berbincang dengan semua pihak khasnya pihak-pihak yang terlibat secara langsung.

“Kita akan umumkan bentuk pelaksanaannya seminggu sebelum tarikh yang ditetapkan iaitu pada 15 Mac ini,” kata Khalid.

Khalid bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Ketua Polis Kuala Lumpur turun ke Jalan Tuanku Abdul Rahman petang tadi.

Ia bertujuan untuk membuat penilaian kepada cadangan menjadikan kawasan itu sebagai Pedestrian Walk atau kawasan pejalan kaki.

Ketika membuat penilaian, pemimpin persatuan peniagan Batu Road (Barra) turut serta di samping orang ramai.

Selepas membuat tinjauan, Khalid telah memaklumkan kepada media apa yang beliau lakukan petang tadi.

Dari situlah TV3 melaporkan kerajaan telah menarik balik cadangan untuk menjadikan Jalan Tuanku Abdul Rahman sebagai pedestrian walk.