Malaysia Dateline

TYT Ali Rustam sepatutnya jumpa 15 ADUN yang ada majoriti sebelum bubar DUN

Tindakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, TYT Tun Dato’ Sri Utama Dr Ali Rustam membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan nasihat yang salah dari seorang Ketua Menteri yang telah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri tidak mengikut proses yang sepatutnya.

Menurut kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan, TYT sepatutnya meneliti dan mengikuti Perlembagaan Negeri Melaka, serta bertemu dengan 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  iaitu pihak yang telah memperoleh majoriti sebelum membuat sebarang keputusan.

“Apabila empat ADUN menarik sokongan terhadap beliau pada Isnin lalu, berdasarkan Perlembagaan Negeri Melaka, Ketua Menteri tersebut telah hilang jawatan dan kelayakan untuk menasihati TYT,” katanya.

Malangnya, kata Pakatan Harapan tindakan TYT ini bukan sahaja telah melanggari duluan (precedent) bagi Melaka itu sendiri.

“Di mana pada tahun 2020 nasihat Ketua Menteri ketika itu (YB Adly Zahari) untuk membubarkan DUN tidak diterima setelah hilang majoriti, malah ianya juga tidak selari dengan duluan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nizar Jamaluddin lawan Zambry Abdul Kadir di mana sokongan majoriti boleh ditentukan di luar DUN,” katanya.

Dalam kenyataan bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Madius Tangau turut berasa kesal kerana tindakan pembubaran DUN Melaka ini telah membuka laluan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan, yang boleh mengancam nyawa rakyat pada ketika pandemik COVID-19 belum lagi terkawal sepenuhnya.