Malaysia Dateline

U-Turn balik, tak payah bayar faedah masa moratorium

Kerajaan Perikatan Nasional membuat U-turn semula hari ini ekoran berterusan mendapat kecaman daripada rakyat berhubung faedah enam bulan moratorium yang dikenakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) semalam.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan terkini Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menggesa semua institusi kewangan khususnya yang terlibat dalam moratorium ini untuk mempertimbangkan supaya faedah terakru (pinjaman sewa beli) atau keuntungan (pembiayaan Islam kadar tetap) dilupuskan sewaktu 6 bulan moratorium.

Menurut Akta Bank Negara 2009, isu ini berada di bawah bidang kuasa BNM.

Zafrul berkata, memang terdapat bank yang menawarkan moratorium pinjaman tanpa mengenakan faedah terakru (accrued interest) atau faedah dikompaun (compounded interest) atas pinjaman tetapi ia tidaklah merangkumi semua produk pinjaman.

“Setiap bank pula ambil pendekatan tersendiri dalam hal mengenakan faedah sewaktu tempoh moratorium,” katanya.

Menurut Zafrul, Kementerian Kewangan telah memulakan langkah proaktif mencari penyelesaian kemelut ini melalui perbincangan bersama BNM dan bank-bank untuk membuat keputusan yang tepat mengikut keperluan rakyat.

“Kami di Kementerian Kewangan bersedia untuk bekerjasama dengan BNM dan sektor perbankan bagi memastikan pelaksanaan saranan ini.

“Kerajaan sentiasa peka kepada cetusan hati nurani rakyat, terutamanya dari golongan B40 dan M40, dan mengambil berat perkara ini.

“Dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar disebabkan oleh wabak COVID-19, saya amat berharap pandangan ini dapat diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh BNM dan juga institusi-institusi kewangan dalam negara,” katanya.