UAE pintas peluru berpandu Houthi

Oleh NASUHA RAHMAN

Pengerusi Ketua Gabungan Staf AS, Jeneral Mark Milley memuji kejayaan angkatan bersenjata UAE kerana berjaya memintas peluru berpandu yang dilancarkan oleh Houthi yang disokong Iran, pada Isnin.

Semasa panggilan dengan rakan sejawatannya dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Leftenan Jeneral Hamad Mohammed Thani al-Rumaithi, Mark Milley menzahirkan rasa terima kasih atas usaha bersama menghalang peluru berpandu masuk di Pangkalan Udara al-Dhafra di Abu Dhabi.

“Pemimpin-pemimpin tentera itu berbincang tentang serangan pengganas baru-baru ini yang dilancarkan oleh Houthi terhadap UAE dan persekitaran keselamatan di Timur Tengah,” ujar jurucakap Ketua Gabungan Staf AS, Kolonel Dave Butler dalam satu kenyataan.

Milley turut mengecam serangan pada Isnin yang dilakukan ke atas Abu Dhabi serta serangan pada 17 Januari lalu.

“Amerika Syarikat dan UAE berkongsi hubungan penting sebagai dua rakan kongsi utama yang komited terhadap kestabilan dan keselamatan di Timur Tengah,” tegasnya.

Empangan’ menentang kuasa kegelapan

Penasihat diplomatik kepada Presiden UAE, Anwar Gargash menyifatkan UAE sebagai ‘empangan’ menentang kuasa kegelapan dan keganasan yang mana menurutnya, kegelapan terlalu lemah untuk menghalang cahaya.

“UAE kekal tahan terhadap pembenci, penceroboh serta kekal sebagai sinar harapan yang menyebarkan kebaikan serta model yang dibanggakan sebagai cerminan sejarah dan budaya kami,” kata Anwar Gargash menerusi akaun Twitternya.

Beliau menambah bahawa UAE adalah ‘empangan’ yang tidak dapat ditembusi terhadap kuasa kegelapan dan keganasan.

“UAE adalah petanda masa depan yang makmur, dan mereka adalah petanda jauh daripada kemalangan dan kehancuran.”

Selain itu, Kementerian Pertahanan UAE mengumumkan pemintasan dan pemusnahan dua peluru berpandu balistik Houthi yang ditembak ke arah wilayah UAE pada subuh Isnin lalu.

“Pensasaran jahat ini tidak akan terlepas daripada hukuman,” sambil beliau menegaskan bahawa UAE memiliki hak untuk bertindak balas terhadap serangan pengganas ini.

AS lancar peluru berpandu Patriot

Komando Pusat Ketenteraan AS berkata dalam satu kenyataan bahawa tentera AS telah menembak beberapa peluru berpandu pemintas Patriot ke arah peluru berpandu masuk di Pangkalan Udara Al Dhafra.

“Ini adalah pelancaran pertama peluru berpandu Patriot sejak Perang Teluk pertama pada 1991,” ujar seorang pegawai kanan Pentagon.

Berikutan usaha bersama itu, ia berjaya menghalang kedua-dua peluru berpandu daripada menjejaskan pangkalan.

“Pasukan AS berada dalam keadaan berjaga-jaga pada masa serangan yang kedua dalam seminggu, yang melibatkan juruterbang menggunakan bunker (kubu bawah tanah) yang tersedia.”

Jelasnya lagi, tiada kemalangan jiwa dalam kalangan tentera AS dan pasukan itu tetap berjaga-jaga dan bersedia untuk bertindak balas sekiranya berlaku sebarang serangan berikutnya, dan terdapat kira-kira 2,000 askar AS mengawal di Al Dhafra.

Terdahulu jurucakap Houthi, Yahya Saree berkata menerusi kenyataannya bahawa pemberontak Houthi yang disokong Iran di Yaman mengesahkan mensasarkan UAE dengan peluru berpandu balistik pada hari Isnin.

Hentikan perang Yaman

Sebelumnya pada Isnin, Menteri Luar Iran, Amir Abdollahian menyeru UAE dan Arab Saudi agar menamatkan perang di Yaman, dengan berkata bahawa Tehran tidak akan mengabaikan dialog dan bersedia untuk mengadakan rundingan terus dengan UAE.

“Kami bimbang tentang peningkatan perang dan menyeru Arab Saudi dan UAE untuk menerima pakai pendekatan politik dan konstruktif untuk menamatkan perang dan pengepungan kemanusiaan, menerima gencatan senjata di Yaman dan melancarkan dialog Yaman,” kata Abdullahian pada akhir Persidangan Kebangsaan Iran dan Negara-negara.

Beliau berkata, sudah tentu sesiapa pun tidak ingin menyaksikan lebih enam tahun peperangan dan pertumpahan darah di Yaman berlaku dan tidak ada satu pun negara di rantau ini yang menganggap perang sebagai cara untuk menyelesaikan krisis ini.

Kenyataan Abdollahian itu dibuat di tengah-tengah serangan yang dilakukan kumpulan Houthi yang disokong oleh Iran.

Serangannya ke atas UAE, Arab Saudi dan serangan udara sengit pakatan yang diketuai oleh Riyadh, pertempuran meningkat di kawasan Ma’rib dan Sana’a, antara tentera kerajaan Yaman yang disokong oleh pakatan, dan Houthi.

Dalam pada itu, Menteri Luar Iran berkata, “kami telah membiarkan jalan terbuka untuk Arab Saudi. Setiap kali Arab Saudi memutuskan untuk mengembalikan hubungan diplomatiknya dengan Iran kepada normal, kami mengalu-alukan pembukaan semula kedutaan.”

Sementara itu, beliau enggan menambah negara Teluk ke dalam rundingan program nuklear Iran di Vienna.

“Kami sama sekali tidak mengalu-alukan penambahan ahli baru dari rantau ini ke dalam rundingan, walaupun negaranya mementingkan berunding dengan negara jiran dalam usaha untuk menarik balik embargo,” kata Abdollahian.

Sebaliknya, beliau menyatakan kesediaan Tehran untuk mengadakan rundingan terus dengan Amerika Syarikat.

“Jika kita mencapai tahap dalam proses rundingan yang memerlukan dialog dengan Amerika untuk mencapai persetujuan yang baik, kita tidak akan mengabaikannya,” tegas Abdullahian.