Malaysia Dateline

Ubah kerajaan lebih awal, itulah kerajaan pintu belakang, kata Azmin

“Kalau ada pihak yang nak mengubah pentadbiran dan kerajaan lebih awal dari itu, dua tahun atau satu tahun, itulah sebenarnya kerajaan pintu belakang,” kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Timbalan Presiden PKR itu mengeluarkan kenyataan tersebut susulan pertanyaan wartawan berhubung desas-desus yang mengatakan nama Azmin antara disebut sebagai dalang komplot mewujudkan kerajaan pintu belakang.

Azmin berkata, beliau melihat perkara itu (dakwaan dalang komplot) adalah kenyataan kumpulan yang terdesak.

“Saya harap mereka yang terlalu ghairah untuk berkuasa, menghormati mandat yang diberikan rakyat dalam PRU lepas.

“Sebagai sebuah negara yang menghormati sistem demokrasi, pilihan dibuat oleh rakyat tentang sesebuah kerajaan atau Perdana Menteri setiap lima tahun.

“Mana ada berlaku kita buat pilihan raya memilih kerajaan untuk tempoh dua tahun atau satu tahun sahaja,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak turut menyokong Dr Mahathir memegang tampuk kepimpinan negara sehingga tamat tempoh penggal.

“Sepatutnya biarlah Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga selesai tempoh penggal.

“Ini kerana, rakyat telah memberikan mandat kepada kerajaan. Tentang apa yang diputuskan Pakatan Harapan, itu hanya satu semangat dan persefahaman tanpa ditetapkan sebarang tempoh.

“Jadi, saya harap kita menghentikan perbincangan tentang peralihan kuasa, tumpu sepenuh masa untuk membangunkan ekonomi dan membantu rakyat,” ujarnya lagi.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu turut menyeru masyarakat supaya memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri untuk memimpin negara.

Ini kerana melalui sokongan padu itu katanya, ia dapat memberikan jaminan kepada pelabur bahawa politik Malaysia stabil dan ekonominya sedang beralih kepada landasan yang betul.