Malaysia Dateline

Ubah komunikasi kerajaan pastikan polisi sampai ke akar umbi

Komunikasi kerajaan perlu diubah secara drastik dan komprehensif supaya segala polisi dan tindakan kerajaan sampai ke akar umbi, tegas Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Muhammad Faiz Fadzil.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu berkata, hebahan dan promosi segala polisi baik kerajaan perlu lebih banyak dilakukan supaya rakyat benar-benar yakin kemampuan Pakatan Harapan (PH) dalam mentadbir negara.

“Rata-rata pengundi yang saya temui ketika kempen (PRK Tanjung Piai) masih tidak tahu pelbagai polisi baik kerajaan,” ujarnya kepada Malaysia Dateline ketika diminta mengulas keputusan PRK Parlimen Tanjung Piai.

Sehubungan itu, Faiz berpendapat aspek komunikasi kerajaan harus diperkemaskan dalam menangkis serangan pihak pembangkang.

“Saluran media rasmi kerajaan seharusnya dimanfaatkan untuk menjawab segala dakwaan pembangkang yang sering membangkitkan sentimen negatif di kalangan rakyat,” tegasnya.

BN menang besar dalam PRK P.165 Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi dengan calonnya dari MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng yang juga Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai memungut 25,466 undi.

Dalam masa sama, Faiz menyifatkan kerajaan harus mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat dengan merangka lebih banyak model ekonomi baharu yang mampu merangsang ekonomi golongan B40.

“Kerajaan perlu memperbanyakkan lagi projek yang boleh memberi manfaat kepada rakyat dari sudut peluang perniagaan dan pekerjaan serta peningkatan pendapatan supaya ekonomi negara terus bergerak.

“Tanpa pergerakan ekonomi yang rancak, ekosistem ekonomi akan terjejas yang akhirnya memberikan kesan kepada poket rakyat,” ujarnya.

Ramai rakyat masih tidak tahu pelbagai polisi kerajaan yang bermanfaat kepada mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu berkata, polisi baharu yang menjaga kebajikan rakyat juga perlu dirangka dan dilaksanakan bagi membantu rakyat mengurangkan beban saraan hidup.

Bagi menjayakan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, jelasnya, koordinasi yang lebih erat antara kerajaan PH dan pegawai kerajaan amat penting supaya rakyat dapat merasai segala polisi baik kerajaan PH.

Sehubungan itu, Faiz menggesa PH kembali ke meja rundingan membaiki struktur organisasi supaya lebih kukuh dan bersatu termasuk mengurangkan politiking sesama sendiri dengan mengelakkan isu yang boleh membawa perpecahan.

“Menjadi objektif pembangkang untuk pecah belahkan parti pemerintah dan di sini penting untuk PH tidak terperangkap dengan sentimen Islam terancam Melayu terpinggir.

“Apa-apa komen yang membawa persepsi negatif dalam kalangan rakyat setiap kali isu ini dibangkitkan oleh pihak pembangkang perlu dielak dihangatkan oleh pemimpin PH,” katanya.

Beliau yakin sokongan rakyat kepada PH akan pulih semula dan memadamkan isu sentimen perkauman yang dimainkan parti pembangkang jika PH mampu menyelesaikan isu rakyat terutama kos sara hidup.

“Rakyat juga semakin bijak menilai keupayaan sesebuah kerajaan. Walau apapun keputusan PRK Tanjung Piai, satu kemenangan buat PH di mana Pas dilihat parti yang ‘kluk-klek’ yang sentiasa berubah fatwa mengikut alunan politik,” katanya.

Oleh sebab itu, tambahnya lagi, orang Melayu Islam selepas ini boleh menilai kejujuran Pas memperjuangkan Islam apatah lagi bersekongkol secara rasmi dengan BN yang terpalit dengan pelbagai skandal korupsi.