Ubah pemerintahan secara aman bukti rakyat Malaysia bertamadun tinggi

Ubah pemerintahan secara aman bukti rakyat Malaysia bertamadun tinggi

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia sama ada yang mengundi Pakatan Harapan (PH) atau sebaliknya kerana mengubah pemerintahan negara secara aman dan bertamadun.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana telah menunjukkan ketamadunan yang tinggi kerana berjaya melakukan perubahan pemerintahan tanpa berlaku pertumpahan darah.

“Terima kasih dan tahniah kepada rakyat Malaysia. Saya cukup bangga.

“Jika kita lihat negara-negara jiran, atau negara-negara di Timur Tengah, negara-negara di selatan Russia atau di Afrika, apabila berlaku perubahan pemerintahan, kadangkala berlaku pertumpahan darah,” kata beliau.

Tambah Mohamad, beliau sangat bersyukur kerana perubahan pemerintahan berlaku secara aman dan tenteram di Malaysia.

Sehubungan itu beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan tentera, polis, kakitangan awam serta rakyat Malaysia keseluruhannya.

Menteri Pertahanan itu berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan hari raya Parti Amanah Negara 2018 di Dewan Tun Ali di Bukit Katil Melaka, tengah hari tadi.

Majlis yang bermula jam 11.30 pagi itu dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat yang datang bertali arus sehingga majlis selesai jam 4.00 petang tadi.

Majlis dimulai dengan bacaan doa daripada Naib Presiden AMANAH, Hasanuddin Yunus dan kemudian ucapan daripada Setiausaha Agung AMANAH, Haji Mohd Anuar Tahir yang mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Sambutan yang telah menjayakan majlis berkenaan sekali gus mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke majlis berkenaan.

Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Gabenor Negeri Melaka, TYT Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob beserta isteri, Ketua Menteri Melaka, Haji Adly Zahari, pimpinan-pemimpin AMANAH peringkat Pusat dan juga Negeri.

6.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 4.0