Malaysia Dateline

Ubah pemikiran sosialis, elak kecam sistem kapitalis, kata Mahathir

Sesetengah pemimpin kerajaan Pakatan Harapan hari ini harus mengubah cara pemikiran sosialis mereka dan tidak terus mengecam sistem kapitalis, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan hari ini merupakan mereka yang berada lebih 60 tahun di barisan pembangkang dan ada sesetengah mereka masih bersifat pembangkang.

“Umpamanya pembangkang kadang-kadang ada yang bersifat sosialis dan mereka menganggap peniaga sebagai kapitalis yang perlu ditentang kerana kapitalis ini perosak yang menekan pekerja dan rakyat,” katanya ketika berucap pada Sesi Pemukiman Kerajaan Negeri Johor bersama Kepimpinan Kerajaan Persekutuan ddi Putrajaya hari ini.

Namun, menurut Dr Mahathir apabila sudah menjadi kerajaan, mereka tidak seharusnya mengecam sistem kapitalis tersebut kerana sistem itu yang memperkayakan negara dan negeri- negeri.

“Merekalah yang melabur dengan modal mereka, mendirikan perniagaan dan perusahaan, menyediakan pekerjaan dan membayar cukai.

“Tanpa cukai kerajaan tidak mempunyai cukup wang yang untuk mentadbir negara atau negeri,” katanya.

Perdana Menteri juga menegur pemimpin kerajaan hari ini yang didapati masih belum dapat menjalinkan hubungan yang baik dengan para peniaga.

“Ada sesetengah masih beranggapan mereka (peniaga) menindas pekerja dan rakyat. Tetapi kalau tidak ada perusahaan dan kejayaan untuk mengumpul keuntungan besar kerajaan juga tidak dapat kutip cukai daripada mereka,” katanya.

“Ini yang perlu kita jayakan supaya pengusaha dapat keuntungan dan 26 peratus daripada keuntungan itu akan dibayar kepada kerajaan sebagai cukai korporat,” katanya.

Di peringkat negeri pula, Dr Mahathir berkata kehadiran perusahaan akan menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyat dan pelbagai jenis cukai yang boleh dikenakan oleh kerajaan negeri.

“Oleh itu kita perlu rapatkan diri dan bekerjasama dengan pengusaha dan peniaga supaya mereka boleh berjaya dan kerajaan dapat memungut cukai daripada mereka,” katanya.- BERNAMA