Malaysia Dateline

Ubah sistem jadi lebih mapan tangani penularan virus

Masalah paling utama di dunia hari ini ialah ancaman Covid-19. Tetapi peperangan antara Armenia dan Azerbaijan atas isu Nargono-Karabakh amat dikesalkan. Lebih-lebih lagi di belakang mereka ada Rusia dan Turki.

Begitu juga dengan bom yang terus digugurkan ke atas Yaman oleh Arab Saudi, dengan di belakang mereka ada Amerika Syarikat.

Tidak diketahui apa yang sedang berlaku di sana kini. Lebih-lebih lagi pda musim pandemik ini. Perjalanan wartawan untuk membuat liputan perang juga terhad, ditambah pula bidang kewartawanan sejak zaman media sosial global sedang terhakis.

Tujuh bulan dunia mengharungi sekatan pergerakan yang turut membawa krisis kesihatan itu kepada krisis ekonomi, sosial dan politik dengan masa depan yang tidak menentu. Itupun tiada kesedaran menyeluruh bahawa Covid-19 adalah ancaman utama kepada manusia.

Di peringkat sains, ada pihak masih mempertikaikan bahaya ancaman ini. Ada yang mengemukakan teori konspirasi dengan menganggapnya sebagai senjata China untuk melumpuhkan dunia.

Ada pula di kalangan agama yang melihatnya sebagai senjata Dajal. Ada yang menolak kaedah China dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan mengambil cara sendiri. Tetapi ia menunjukkan bahawa mereka memandang remeh terhadap ancaman Covid-19.

Pengetahuan mengenai Covid-19 belum lagi menyeluruh, maklumat mengenai wabak ini berubah-ubah dalam masa tujuh bulan ini. Dan pihak yang menyelaras pengetahuan daripada hasil kajian dan penyelidikan di seluruh dunia ialah WHO, sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Setiausaha Agungnya, António Guterres merayu pada dunia supaya menghentikan peperangan untuk menumpukan perhatian melawan Covid-19, pertama kali wabak global yang mengancam manusia.

Rayuan beliau ketika itu ditujukan pada pertempuran yang masih berlaku di Afghanistan dan pengeboman di Yaman dan Gaza, Palestin. Begitu juga kegiatan ganas Boko Haram di Nigeria dan Mali.

Di Syria, pertempuran telah dihentikan. Malah, Daesh pun menghentikan serangan untuk menghadapi Covid-19. Bagaimanapun, Turki masih melakukan serangan terhadap kumpulan Kurdis di Syria utara.

Tetapi seruan yang dibuat di Perhimpunan Agung PBB tidak dihindarkan. Pertempuran di Nagorno-Karabakh terus berlaku. Peperangan adalah hanya satu sisi daripada kegiatan politik manusia.

Satu lagi sisi ialah berkonfrontasi, yang walaupun tidak membawa maut tetapi mencetuskan ketegangan dan menjejaskan hubungan antara negara dan manusia.

Konfrontasi inilah yang berlaku di dunia tahun ini, yang mengalih pandangan manusia daripada memberi tumpuan terhadap ancaman Covid-19. Ia berpunca dari Amerika Syarikat yang sepatutnya memimpin dunia menghadapi wabak ini.

Tetapi malang bagi dunia, ketika manusia terancam dengan wabak ini, presiden Amerika adalah Donald Trump, ditambah pula dia sedang menghadapi pilihan raya presiden November ini.

Manusia sudah mencapai satu peringkat bertamadun di mana dunia disusun menurut negara-negara yang menjadi anggota PBB. Setiausaha Agung PBB itu adalah seperti Ketua Setiausaha Dunia dengan WHO itu adalah kementerian kesihatan dunia. Suka tidak suka, oleh kerana kedudukannya sebagai kuasa tunggal dunia, presiden Amerika adalah ketua dunia walaupun beliau hanya dipilih oleh warganegaranya.

Jadi, beliau telah melepaskan kepimpinannya terhadap dunia dalam menghadapi Covid-19. Beliau membawa Amerika keluar daripada WHO dan melancarkan konfrontasi terhadap China, yang dituduh sebagai punca kepada wabak itu.

Mungkin tindakan itu merupakan usahanya untuk memenangi pilihan raya presiden tetapi kesannya ialah beliau tidak melihat wabak ini sebagai ancaman untuk seluruh manusia.

Amerika terus menekan Iran dengan sekatan yang dikenakan. Tetapi usahanya membantu Israel untuk mendapatkan pengiktirafan negara-negara Arab memburukkan hubungan antara negra-negara Islam dan dunia Barat. Apa yang dianggapnya sebagai kejayaan dan perdamaian baginya tetapi realitinya ia menambahkan lagi ketegangan bagi rantau itu dan dunia.

Itu di peringkat Amerika. Tetapi kalau dilihat setiap negara di dunia, dapat dipercayai bahawa masing-masing juga tidak memberi sepenuh perhatian untuk menghadapi wabak Covid-19. Termasuk juga Malaysia yang pergolakan politiknya turut mengganggu tumpuan perhatian.

Sedangkan tumpuan yang dituntut bukan saja soal kesihatan tetapi juga ekonomi, sosial dan juga politik, iaitu akibat daripada krisis itu. Masa depan pasti tidak menentu walaupun tumpuan di seluruh dunia kini adalah mendapatkan vaksin.

Itu pun ia tidak dilakukan secara berpadu dan global. Ia lebih berbentuk kerjasama pelbagai negara atau hubungan dua hala, seperti Malaysia dengan China.

Tetapi vaksin ini bukanlah penyelesaian muktamad wabak ini. Ini kerana virus itu pun boleh berubah. Ditambah pula ada kemungkinan muncul virus-virus baharu pada masa masa akan datang, suatu yang dijangka oleh ahli epidemialogi sebelum Covid-19 ini lagi.

Kini para saintis melihat punca wabak ini dan ia menimbulkan perdebatan. Satu pihak menyatakan puncanya ialah perubahan iklim dan pelupusan hutan. Kedua-duanya berkaitan pula dengan sistem ekonomi global yang berkait dengan penggunaan bahan api fosil. Tanpa kawalan, ia membawa pada pemanasan global dan perubahan iklim. Ia membawa bencana yang mangsanya adalah lebih pada negara-negara miskin.

Ini ditambah pula dengan sistem ekonomi global yang melupuskan hutan bagi mendapat sumber-sumber baharu peladangan. Pelupusan hutan ini menjejaskan ekosistem kehidupan liar.

Gaya hidup mewah budaya ekonomi global yang mewujudkan golongan kecil teramat kaya membawa kepada kegemaran makanan eksotik, bukan saja di China tetapi di negara-negara Barat. Keadaan ini membawa kepada pemerdagangan haiwan liar, termasuk kelawar.

Keadaan sistem ekonomi rakus, perubahan iklim, pelupusan hutan, penjejasan ekosistem kehidupan liar, pemerdagangan hidupan liar dn kegemaran makanan eksotik membuka ruang berlakunya kemunculan virus Corona dan seumpamanya.

Ia hanya memerlukan lompatan daripada haiwan liar ke manusia melalui spesies seperti kelawar yang mempunyai imun tinggi untuk dilepaskan kepada spesies lain.
Wabak Covid-19 setakat ini dipercayai berpunca dari hutan Yunan, China selatan yang dibawa ke Wuhan. Tetapi suasana sebegini boleh berlaku di pinggir hutan tropika lain seperti di Amerika Selatan, Afrika dan Asia Tenggara. Malah, Malaysia juga tidak terlepas daripada ancaman ini kerana wabak Nipah beberapa tahun lalu melibatkan kelawar juga.

Pihak yang mengaut keuntungan daripada sistem ekonomi global rakus tanpa kawalan tentu menolak anggapan bahawa mereka sebagai punca. Sebarang usaha untuk mengehadkan kehendak mereka dilihat sebagai tindakan menjejaskan keuntungan perniagaan.

Tetapi kalau akhirnya sistem rakus ini membawa kepada perubahan iklim dan selanjutnya kemunculan virus baharu ini adalah jelas mengancam manusia, maka ia tidak boleh dinafikan lagi. Dunia perlu melihat semula adakah sistem politik dan ekonomi sedia ada ini patut diubah kepada yang sewajarnya lebih mapan.

Hal ini tentunya kelihatan terlalu besr dan tumpuan bagi semua negara pada masa ini ialah mengalahkan Covid-19 di tempat masing-masing.

Tetapi akhirnya dunia akan berdepan juga pada hakikat bahawa cara hidup awal abad ke-21 ini tidak boleh diteruskan dengan begitu sahaja tanpa langkah perubahan besar dan mendadak. Demi kelangsungan hidup manusia sejagat.

*ZIN MAHMUD berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan sejak awal 1980-an, bekas pengarang Mingguan Malaysia, bekas pengarang kumpulan Harakah dan pernah menerbitkan majalah Dunia Islam.