Ubah suai, berjimat sebelum PLKN diteruskan

Kementerian Pertahanan sedang melakukan kajian bagi mengenal pasti implikasi penutupan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), serta penambahbaikan yang mungkin boleh dilakukan jika ia boleh diteruskan.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, jawatankuasa khas bagi tujuan tersebut telah ditubuhkan walaupun manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas menyatakan program itu akan dibatalkan.

Menurutnya, terdapat pandangan dan kajian bebas oleh pelbagai pihak antaranya, Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2010 dan Universiti Sains Malaysia pada 2014 yang menyatakan PLKN berjaya memupuk sifat patriotisme dan nilai murni yang tinggi dalam kalangan pelatih.

“Dengan mengambil kira pandangan dari ibu bapa, bekas pelatih PLKN, agensi kerajaan yang berkaitan, satu kajian sedang dilaksanakan semula Kementerian Pertahanan.

“Kajian ini sangat penting untuk ditentukan pengubahsuaian atau penjimatan semula program ini, jika ada keperluan untuk diteruskan. Sebab, pengurusan paling tinggi ialah sewa kem dan lain-lain,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang ingin tahu mengenai jumlah perbelanjaan akumulatif PLKN serta hala tuju baharu bagi program berkenaan.

Menjelaskan lanjut, Mohamad berkata, sebanyak RM8.34 bilion telah dibelanjakan sejak dimulakan pada 2004 dan 43 peratus daripadanya adalah untuk sewaan kem-kem latihan dan pengangkutan.

Selain itu, dari jumlah 885,956 belia yang dilatih, hanya sekitar 300,000 belia kembali menyertai Briged Sukarelawan Khidmat Latihan Negara.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS