Malaysia Dateline

Ubah suai rumah PM: ‘Waktu lulus RM38 juta tak fikir rakyat ke?’, soal Saddiq

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoal keperluan kerajaan mengubah suai kediaman Seri Perdana sehingga menelan kos sebanyak RM38.5 juta.

Beliau berkata, kos yang diluluskan pada 19 Mac lalu itu adalah ketirisan paling jelas yang dilakukan ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Nak baiki, baiki lah. Tapi perlu ke belanja sampai RM38.5 juta? Waktu lulus ini, tak fikir rakyat ke?

“Kita hari-hari sebut, rakyat sedang susah, lapar dan sakit. Nak belanja makan minum kena jimat. Ada yang kena buang kerja, kena potong gaji. Penjawat awam siap bagi sumbangan gaji untuk bantu lawan Covid-19.

“Nak jaga imej negara, tak perlu belanja sampai RM38.5 juta. Kalau pemimpin bijak, boleh jaga rakyat, boleh jaga negara itu dah cukup untuk imej negara,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya semalam.

Beliau turut melabel tindakan kerajaan itu sebagai melampau dan menganggap ianya adalah ketirisan yang dilakukan secara terang-terangan.

Bahkan tegasnya, kos berkenaan sepatutnya boleh disalurkan untuk membantu petugas barisan hadapan di luar kawasan Lembah Klang, bantu baik pulih sekolah luar bandar, atau sediakan projek perumahan rakyat termiskin.

“RM38.5 juta ini dah dianggap boleh bina lagi beberapa kediaman rasmi, tapi ini guna untuk baik pulih sahaja?

“Ketirisan luar biasa yang dilakukan terang-terangan oleh Perikatan Nasional,” ujarnya.