Malaysia Dateline

Ubah waktu kerja kepada malam untuk kurangkan tekanan pekerja tempatan

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedang memikirkan untuk mengubah waktu kerja dari siang hari kepada malam, bagi mengurangkan tekanan kepada pekerja tempatan yang bekerja di luar pejabat.

Beliau berkata, kerajaan mendapati suasana bekerja di luar pada siang hari, panas terik dan keadaan itu secara tidak langsung menimbulkan rasa tidak selesa ketika bekerja.

“Kita sedang fikir sama ada kita boleh alih waktu kerja dari siang hari kepada malam. Perubahan waktu kerja itu antara lain, dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja warga asing yang bekerja di negara kita.

“Memanglah malam gelap, tapi orang kaya boleh main golf waktu malam, mungkin kita boleh tanam padi waktu malam sebab siang panas dan ini boleh mengurangkan tekanan kepada pekerja.

“Mungkin ramai (rakyat Malaysia) yang susah untuk terima perubahan ini, tetapi lama-kelamaan kita akan biasa dengan cara begitu.

“Sekarang ini lampu pun dah boleh pasang dengan cukup terang, lampu LED juga jimat elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian malam tadi,dalam ucaptama di Majlis Makan Malam Tautan Muhibbah Parlimen Segambut di Laman Zarlith, yang turut dihadiri isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut, Mahathir Mohd Rais.

Jamuan itu diadakan bertujuan mengumpul dana bagi membolehkan program kemasyarakatan penduduk setempat diadakan seperti membantu golongan asnaf, anak yatim dan ibu tunggal.

Sementara itu, Mahathir berkata, kerajaan hari ini tidak menggunakan wang untuk meraih sokongan rakyat seperti yang dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Kalau kita terima wang secara percuma, maka kita akan jadi lemah kerana bergantung sepanjang masa dengan bantuan daripada pihak kerajaan.

“Kerajaan sekarang tidak mampu memberi wang, sebaliknya kita ingin wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan supaya rakyat akan dapat membiayai diri mereka atas usaha sendiri,” katanya.