Ubahsuai bajet tidak bermakna jika keborosan & rasuah berleluasa

Ubahsuai bajet tidak bermakna jika keborosan & rasuah berleluasa

Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Nasional mengingatkan semua pemimpin politik Umno-BN supaya memandang serius amalan berjimat cermat dan menghapuskan rasuah serta ketirisan dalam kalangan pemimpin tertinggi parti itu.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

fareedah samadAngkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Nasional mengingatkan semua pemimpin politik Umno-BN supaya memandang serius amalan berjimat cermat dan menghapuskan rasuah serta ketirisan dalam kalangan pemimpin tertinggi parti itu.

Pengarah Komunikasi Awan Nasional, Fareedah Samad berkata, tidak guna hanya kakitangan kerajaan sahaja yang bersungguh-sungguh menjalankan dasar kerajaan tetapi pemimpin politik yang berkuasa masih dengan budaya hidup yang mewah dan melakukan pembaziran.

“Rakyat sudah cukup kecewa dengan laporan daripada pelbagai kajian yang telah menganggarkan kerajaan kerugian antara RM23 bilion sehingga RM40 bilion setahun kerana ketirisan, rasuah dan salah urus tadbir seperti yang dibentang dalam laporan tahunan Ketua Audit Negara,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau juga berkata, Awan Nasional bersedia untuk menjadi pemantau dan penyemak imbang yang tegas ke atas pengubahsuaian Bajet 2016 yang dibentang oleh Perdana Menteri Khamis lalu.

“Adalah sesuatu yang sangat mengecewakan jika pengubahsuaian itu hanya sekadar cantik di atas kertas tetapi implementasinya tidak seindah mana,” katanya.

Rabu lalu Najib membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 dengan mengambil kira senario ekonomi semasa untuk lebih realistik dalam keadaan pada 2016 yang mencabar.

Bajet yang diubah suai itu akan memberi tumpuan kepada apa yang dianggap positif oleh rakyat dan pasaran.

Antara tumpuannya termasuk berkaitan dasar fiskal negara dan kewangan, langkah meningkatkan hasil negara, mengoptimumkan perbelanjaan dan menentukan keutamaan baharu.

Awan Nasional juga menuntut hasil pengubahsuaian bajet ini dilaporkan secara terperinci pada hujung tahun ini termasuk perbelanjaan khusus kepada pejabat-
pejabat menteri terutamanya perbelanjaan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Rakyat juga ingin mengingatkan agar pelaksanaan ke atas pengubahsuaian bajet ini perlulah inklusif dan telus,” katanya.

TAGS