Malaysia Dateline

Ubat Dexamethasone tidak bantu pesakit COVID-19 bergejala ringan

Dexamethasone adalah sejenis ubat steroid yang digunakan untuk mengurangkan radang (inflammation) dalam pelbagai penyakit.

Hasil dapatan awal Recovery Trial menunjukkan ubat ini dapat mengurangkan risiko kematian iaitu sehingga satu pertiga dalam kalangan pesakit COVID-19 yang mempunyai gejala pernafasan yang serius, terutamanya mereka yang memerlukan bantuan pernafasan (ventilatory support).

Kementerin Kesihatan Malaysia mengambil maklum tentang perkembangan awal ujian klinikal (iaitu randomised clinical trial) ubat Dexamethasone dalam rawatan COVID-19 yang dikenali sebagai “Recovery Trial” di University of Oxford, United Kingdom.

Namun begitu menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ujian klinikal ini juga mendapati bahawa ubat ini tidak membantu dalam rawatan pesakit COVID-19 yang hanya mempunyai gejala ringan atau pesakit yang tidak memerlukan bantuan pernafasan.

“Hasil penemuan saintifik ini penting dalam perkembangan rawatan pesakit COVID-19. KKM ingin mengucapkan syabas kepada kerajaan United Kingdom, University of Oxford dan semua anggota yang terlibat dalam uji kaji klinikal ini.

“Walau bagaimanapun, KKM menyeru orang ramai supaya berwaspada agar tidak menyalahgunakan atau mengambil ubat dexamethasone tanpa preskripsi daripada doktor.

“Ini kerana ubat ini juga mempunyai kesan sampingan dan perlu diimbangi dengan keperluan penggunaan ubat ini bagi penyakit-penyakit tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, sehingga 17 Jun 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat sepuluh kes baharu yang telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,515 kes.

Tiada kes import yang mendapat jangkitan di luar negara. Daripada sepuluh kes penularan di dalam negara, tiga kes adalah bukan warganegara manakala tujuh kes adalah di kalangan warganegara Malaysia.

Sehingga kini, sebanyak empat kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Hari ini juga tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan, jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes.