Malaysia Dateline

Ubat PrEP perlu dilihat positif, pintu jalan pulang

Pemberian ubat PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) tidak seharusnya dilihat negatif seperti dakwaan ia menyumbang kepada peningkatan jumlah pengamal seks songsang dalam kalangan penggunanya.

Sebaliknya Ketua Sektor HIV Bahagian Kawalan (Penyakit) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Anita Suleiman berkata, ia perlu dilihat positif supaya ia menjadi ‘jalan pulang’ kepada mereka yang terlibat dengan gejala tersebut.

“Kita terlalu menggambarkan ia sebagai satu perkara yang negatif yang mana ia dapat meningkatkan amalan songsang dalam kalangan penggunanya.

“Cuba lihat dengan pandangan positif, dengan asbab adanya ubat PrEP ini, mereka datang kepada kita, bukankah ia dapat menjadi satu platform untuk kita bantu mereka mencegah atau mengurangkan risiko daripada terkena sebarang jangkitan secara berperingkat.

“Ia akhirnya akan mewujudkan satu perubahan atau ‘jalan pulang’ buat mereka daripada gejala itu,” katannya.

Beliau berkata demikian dalam Program Wacana Sinar bertajuk PrEP: Tanggungjawab, pencegahan penyakit HIV yang dihoskan oleh Ismail Adnan pada Selasa di petik Sinar Harian.

Dalam pada itu, Anita berkata KKM sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak agensi terutama jabatan agama berhubung maklumat dan penerangan berkaitan jangkitan HIV.

“Sebelum ini, kita juga ada perbincangan dengan pejabat mufti dan juga agamawan lain, sehingga membawa kepada kesimpulan hukum harus untuk kita menyediakan perkhidmatan tambahan menambah ubat PrEP demi menjaga kelangsungan ummah,” jelasnya.

Turut bergandingan sebagai panelis adalah Profesor Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Rafidah Hanim; Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dan Setiausaha Akademi Fiqh Islam Malaysia (AFHAM), Profesor Dr Irwan Mohd Subri.

Baca juga: SPRM siasat penjualan Menara KL