Usahawan sensasi, Datuk Red merasa sangat terharu dan bersyukur apabila bekas isterinya iaitu penyanyi terkenal, Adira Suhaimi sudi untuk meraikan hari jadinya yang ke-47 bersama anak-anak mereka.
Menurut pemilik nama sebenar Datuk Seri Adnan Abu itu, Adira bukan hanya sekadar meluangkan masanya sahaja malah turut menyumbangkan wang dan tenaga untuk memastikan kelancaran majlis sambutan tersebut.
Perkara itu didedahkan oleh usahawan terbabit menerusi satu hantaran video dimuat naik di akaun TikTok miliknya yang memaparkan suasana cukup romantis dalam majlis berkenaan bersama 10 orang cahaya matanya.
Usahawan berkenaan juga mengakui bahawa sambutan kali ini lebih bermakna kerana dapat meluangkan waktu bersama keluarga berbanding tahun lalu hanya bersendiri di dalam kereta sahaja.
“Alhamdulillah, hanya percaturan dari Allah yang terbaik. Terima kasih Peng, Adira Suhaimi kerana menghabiskan wang, tenaga dan usaha untuk menjayakan sambutan hari kelahiran saya.
“Untuk Adira, saya sudah tiada kata-kata untuk awak. Satu kegembiraan buat saya dapat kumpulkan 10 orang anak-anak dan dapat berjumpa dengan adik-beradik adalah nikmat yang telah lama diimpikan.
“Berbeza dengan tahun lepas, saya hanya seorang diri di dalam kereta. Tak lupa kepada sahabat-sahabat saya di TikTok yang tidak henti-henti ucapkan selamat hari ulang tahun. Saya berdoa di akhirat nanti kita berjumpa,” katanya dalam hantaran itu.
Dalam hantaran yang sama, Datuk Red turut mendoakan supaya Adira meraih kebahagiaan dan kejayaan bersama anak-anak walaupun mereka berdua tiada jodoh untuk bersatu kembali sebagai suami isteri.
“Akhir sekali buat Adira, andainya kita tiada jodoh dan usia saya singkat. Saya mendoakan supaya awak bahagia dan berjaya dengan anak-anak. Kegembiraan hari ulang tahun bersama keluarga dan sahabat.
“Alhamdulillah, hari kelahiran yang bermakna dengan keluarga dan sahabat. Saksikan detik indah ini!.” Kata Datuk Red dalam perkongsian yang sudah meraih lebih daripada setengah juta tontonan itu.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna meluahkan rasa sebak dan simpati mereka selepas membaca luahan isi hari Datuk Red kepada Adira dalam ruangan kapsyen tersebut.
Ramai juga pengguna mendoakan agar mereka kembali bertaut kasih sebagai suami isteri ataupun mengekalkan hubungan baik sampai bila-bila sekiranya mereka sudah ditakdirkan untuk tidak bertemu jodoh.
Baca juga: Memang patut cabut pintu PPR, penghuni bukan kategori miskin tapi sengaja culas bayar sewa