Ucapan kafir harbi perlu disertai tanggungjawab

Ucapan kafir harbi perlu disertai tanggungjawab

Surat Terbuka Kepada Datuk Seri Sohibul Samahah Mufti Kerajaan Negeri Pahang

Bismillah Hirrahman Nirrahim
Assalamualaikum WBT

Datuk Seri Sohibul Samahah Mufti Negeri Pahang,

Awalnya saya memohon untuk Datuk Seri berani bertanggungjawab dan tidak goyah dengan laporan awal yang telah disiarkan dan diterbitkan oleh Utusan sama ada di media cetak atau sosial berkenaan tajuk “Orang Islam bersekongkol DAP haram- Mufti Pahang, DAP tergolong kafir harbi wajar ditentang” yang bertarikh 24 Jun 2016. Jika laporan itu tidak benar maka dapatlah kiranya Datuk Seri menafikan tulisan tersebut.

Datuk Seri Mufti,

Namun mengikut laporan Sinar Harian(online) bertarikh 25 Jun 2016, Datuk Seri tidak merujuk gelaran “kafir harbi”(KH) kepada DAP semata-mata tetapi sesiapa sahaja yang menentang Islam.

Benar Datuk Seri tidak merujuk mana-mana individu dan itu lebih bahaya kerana ia seumpama sedang meminta muslim memerangangi non muslim yang ada didalam DAP.

Tetapi dalam perenggan ketiga laporan tersebut tertulis:

“Saya tak sebut individu tetapi DAP itu ada pemikiran yang boleh disifatkan sebagai kafir harbi. Pemikiran mereka jelas cuba memerangi atau meracuni cara hidup Islam daripada ditegakkan. Ini yang kita tentang,”.

Jadi apa sebenarnya yang Datuk Seri cuba sampaikan kepada kami rakyat dibawah. Sekejap tidak kata pada DAP semata-mata tetapi ulasannya semua ditujukan kepada DAP.

Datuk Seri Mufti,

Adakah Datuk Seri sedar implikasi apabila istilah kafir harbi ini dilaungkan? Ia boleh menyebabkan tumpah darah serta kekalutan dalam negara. Meletakkan orang muslim dan non muslim dalam keadaan yang cukup keliru.

Datuk Seri dalam laporan SH yang sama menyebut:

“Saya bukan bercakap cap ayam (cakap kosong) . saya bercakap ada asas agama dan saya tiada kepentingan dalam politik.”

Jika benar bukan omong kosong maka saya mohon satu keterangan bertulis berkenaan kafir harbi mengikut huraian Datuk Seri yang boleh dikaitkan dengan sikap DAP seperti yang didakwa. Disinilah yang menentukan sama ada ulasan Datuk Seri cap ayam atau tidak.

Datuk Seri Mufti,

Jika penolakkan RUU 355 menjadi kayu ukur mengapa Datuk Seri menzahirkan dasar politik DAP ialah menentang Islam saya kira Datuk Seri tidak mengikuti dengan baik situasi politik semasa.

Untuk pengetahuan Datuk Seri, parti komponen Barisan Nasional seperti MCA, MIC dan Gerakan juga vokal dalam penentangan mereka berkenaan RUU 355 dan hudud. Tetapi persoalannya kenapa semua pihak termasuk Datuk Seri gagal menghidu sifat “anti Islam” mereka seperti mana yang didakwa pada DAP?

Inilah sikap “double standard” kita sebagai manusia. Tidak kira apa kostum yang dipakai sama ada bangsawan dan agamawan.

Datuk Seri Mufti,

Saya kira Datuk Seri lebih arif bagaimana pandangan bukan Islam kepada institusi Islam tidak kira lokal atau global. Seharusnya kita memikirkan bagaimana untuk memperkasa ekonomi orang Islam, memudahkan urusan melibatkan zakat dan sebagainya.

Jika sekalipun Datuk Seri mahu berkomentasi berkaitan politik, bagi saya tidak ada dosanya. Semua pihak telah dijamin oleh Perlembagaan Malaysia mengikut Perkara 10 iaitu semua warganegara diberikan hak kebebasan bersuara.

Namun kredibiliti Datuk Seri boleh dianggap seimbang jika Datuk Seri bukan sahaja berani menegur parti politik pembangkang, malah menegur salah laku yang dilakukan oleh kerajaan negeri atau persekutuan atau pun parti dalam gabungan mereka yang memerintah.

Datuk Seri Mufti,

Akhirnya suka untuk saya ingatkan semua yang membaca warkah ini untuk sama-sama bermuhasabah rohani dan jasmani. Jangan kerana sikap prejudis atau pun mahu menjaga periuk nasi kita, akhirnya kita menggadai prinsip yang diangkat oleh Islam iaitu untuk berlaku adil tidak kira pada sesiapa.

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Al-Maaidah 5:8

Moga warkah ini diterima dan dibaca sendiri oleh Datuk Seri Sohibul Samahah Mufti Negeri Pahang. Jika ada yang menyinggung saya mohon ampun zahir dan batin, anggaplah ia teguran seperti mana Datuk Seri menegur kami dibawah. Setiap orang melakukan silap serta dosa dan sudah tentu kita juga tidak dapat lari darinya kerana kita bukanlah maksum seperti para anbiya.

COMMENTS

Wordpress (0)