Malaysia Dateline

Ucapan Mahathir dalam KMM tidak hina kaum Melayu, kata penganalisis

Penganalisis dan pakar ekonomi tampil mempertahankan kenyataan Tun Mahathir yang beberapa kali mengungkap bahawa Melayu perlu rajin berusaha dan tidak bergantung pada kaum lain untuk berjaya termasuk dalam ucapannya pada Kongres Maruah Melayu (KMM) Ahad lalu.

Prof Dr Hoo Ke Ping berkata, ungkapan tersebut bukan lah seperti dakwaan beberapa pihak bahawa Perdana Menteri itu menghina kaum Melayu.

Jelasnya, ia merupakan satu teguran tepat untuk menyedarkan Melayu itu sendiri supaya tidak terus selesa dengan pencapaian yang hakikatnya banyak dibantu kerajaan.

Hoo Ki Ping

“Saya rasa Tun M tidak merendahkan sesiapa pun termasuk kaum Melayu. Kalau rendahkan kaum Melayu, bagaimana kaum Melayu boleh kuasai negara ini sampai sekarang.

“Kaum Melayu kuasai bukan sahaja politik tapi dalam korporat juga. Seluruh korporat dikuasai mereka walaupun kurang usahawan individu Melayu.

“Sebagai satu kelompok, saya lihat mereka lebih kuat. Contohnya dana-dana yang pemimpin Melayu buat sebelum ini seperti Felda, Tabung Haji dan Pemodalan Nasional Berhad (PNB),”katanya kepada Malaysia Dateline.

Memperincikan perkara tersebut, beliau berkata, sejak dahulu sudah wujud sentimen sosial, stereotaip atau prejudis terhadap Melayu yang dianggap sebagai malas.

Ini kerana katanya, kaum Melayu mendapat hampir semua keistimewaan dari kerajaan yang menyebabkan mereka berada di zon selesa berbanding kaum lain yang perlu bekerja keras menempatkan diri dalam perjalanan ekonomi negara.

Hakikat tersebut jelasnya, mewujudkan lagi prasangka dan stereotaip ‘kuno’ bahawa kaum Melayu lemah, manakala kaum lain lebih rajin.

Menjelaskan lebih dari sudut pandang bukan Melayu, Dr Hoo berkata, amanat Dr Mahathir dalam kongres tersebut adalah bertepatan dan tidak lain hanya untuk menyedarkan kaum Melayu.

Tidak salah orang Melayu bersatu

“Kalau kita imbas semula, kaum cina sehingga 95 peratus bersatu-padu tolak Umno dan sokong DAP, sokong PH. Lalu apa yang salah apabila kaum Melayu sekarang yang berpecah-pecah untuk bersatu balik.

“(Kongres) itu sebagai tindak balas. Ia biasa. Kalau kaum Melayu bersatu macam kaum Cina sehingga 95 peratus, bagaimana orang melayu tidak merasa takut dan senang.

“Jadi Melayu tingkatkan lagi (kesatuan) melalui kongres, itu memang betul tak salah,” ujarnya.