Hari kedua Sidang Parlimen mesyuarat pertama Penggal ke-4 Parlimen ke-14, bermulanya sesi perbahasan Ahli Parlimen menjunjung kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sempena pembukaan Sidang Parlimen.
YB Tuan Hj Mohamad Sabu (Abang Mat) yang merupakan Ahli Parlimen Kota Raja merangkap Presiden AMANAH merupakan pembahas kedua daripada pembangkang selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim (Anwar Iibrahim) selaku Ketua Pembangkang Dewan Rakyat.
Walaupun hanya diberikan masa yang terhad, Abang Mat mampu mengisi masa yang singkat itu dengan isi-isi perbahasan yang sangat mengagumkan.
Ini bukanlah tulisan untuk memuji dan membodek Abang Mat, sedang penulis dan seluruh pengikut AMANAH mengetahui, Abang Mat tidak termakan langsung dengan sebarang pujian.
Namun, penulis akui, ucapan perbahasan Abang Mat kali ini membuka minda yang lebih terbuka buat semua pemerhati politik.
Sebelum ini Abang Mat terkenal dengan gaya perbahasannya yang penuh humor sambil dilondehkan satu-persatu penyelewengan dan kebobrokan pimpinan kerajaan sehingga menggegarkan Dewan Rakyat.
Ada ketika Abang Mat akan mengusik Ahli-Ahli Parlimen bagi menaikkan semula semangat ahli Dewan Rakyat yang mengantuk akibat lama duduk di dalam dewan.
Sebaliknya kali ini, Abang Mat kurang mengusik sebarang isu salah guna kuasa kerajaan, tetapi mengangkat tema pembaharuan atau islah kepada peranan institusi Parlimen sebagai asas perbahasannya.
Pengalaman selama 22 bulan sebagai Menteri Pertahanan yang menang dalam PRU ke-14 (tidak mencuri mandat rakyat) telah banyak memberi nilai tambah kepada sisi perbahasan Abang Mat yang sedia adanya memang berisi dengan fakta sejarah.
Kedudukan Abang Mat selaku antara menteri kanan semasa pemerintahan PH dan diberi tanggungjawab mengurus selia pertahanan dan kedaulatan negara telah memberikan peluang yang amat luas untuk Abang Mat bertemu dengan pelbagai pihak di luar negara dan memerhati isu-isu kritikal untuk diaplikasikan di Malaysia.
Malangnya, kerajaan yang Abang Mat bina bersama-sama majoriti rakyat yang mengundi PKR dalam PRU-14 lalu dicuri oleh pihak yang terdesak mahu kembali berkuasa setelah tumpas di medan perang.
Pihak yang terdesak ingin berkuasa itu gagal berkali-kali dalam perang dan bercita-cita tinggi untuk duduk di atas kuasa yang lebih berkuasa setelah menang perang.
Akhirnya, segala nilai yang Abang Mat dapat disampaikan di dalam dewan sebagai pembangkang.
Antara isu yang Abang Mat bawa adalah peranan Ahli Parlimen yang merangkumi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara masa kini telah bertukar daripada peranan asalnya.
Kata Abang Mat, Ahli Parlimen sepatutnya sentiasa berada di Parlimen yang bertindak untuk memikirkan, merencanakan dan menyemak segala polisi yang dilaksanakan agar rakyat yang diwakilinya menikmati kehidupan yang selesa.
Abang Mat menegaskan kini Ahli Parlimen terpaksa menjadi pegawai kebajikan sepenuh masa manakala tanggungjawabnya menggubal polisi dan undang-undang dinafikan setelah Parlimen digantung.
Abang Mat akui, pada saat pandemik Covid-19 melanda serta penguatkuasaan PKP telah menyebabkan rakyat makin tersepit dan perlunya bantuan disalurkan oleh wakil rakyat.
Namun, Abang Mat menyatakan bahawa tugas itu merupakan tugas sampingan bagi wakil rakyat yang boleh dilaksanakan oleh anggota PBT (Ahli Majlis).
Menyalurkan bantuan merupakan langkah jangka pendek yang mampu meringankan beban rakyat dalam tempoh masa seketika, sedang Ahli Parlimen perlu menggubal polisi yang berkesan bagi memastikan rakyat mendapat keperluan terus menerus atau jangka masa panjang.
Ini sepatutnya langkah yang perlu diambil. Abang Mat memetik perbualan beliau bersama wakil rakyat di Indonesia dengan menyatakan, rakyat di sana bertanya kepada wakil rakyatnya mengapa tidak ke Jakarta, sedang Jakarta merupakan pusat pentadbiran semua wakil rakyat dan pimpinan menggubal polisi-polisi yang bermanfaat untuk rakyat. Ertinya di sana, tugas utama wakil rakyat adalah untuk berada di Parlimen menggubal polisi-polisi baharu.
Seterusya, Abang Mat menyinggung kurangnya keberkesanan Ahli Majlis dalam berperanan mentadbir masyarakat. Kata Abang Mat, kuasa memilih Ahli Majlis perlu dikembalikan dalam bentuk pilihan raya.
Langkah itu kata Abang Mat akan memaksa Ahli Majlis berperanan lebih berkesan kepada penduduk disamping mengangkat imej mereka sendiri agar menang dalam pilihan raya PBT.
Sekarang ahli majlis dilantik oleh parti yang menang di kawasan ataupun negeri yang memerintah. Ahli majlis hanya taat dan berkhidmat untuk partinya sahaja (bukan semua Ahli Majlis, hanya sebahagian) sedangkan tanggungjawab memantau kerosakan jalan dan pemulihan longkang terpaksa diambil alih oleh ADUN ataupun Ahli Parlimen. Ini sebuah kecelaruan dalam sistem pentadbiran negara kita.
Tambah Abang Mat, dengan adanya peranan Ahli Majlis yang lebih aktif, ia mampu melahirkan pemimpin berkaliber pada masa akan datang. Contohnya, Presiden Indonesia, Pak Jokowi dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan masing-masing merupakan mantan ahli majlis sebelum naik lebih tinggi sebagai pemimpin negara.
Terakhir, Abang Mat mempersoalkan peranan Parlimen dalam mengatasi masalah pemanasan global. Kata Abang Mat, masalah ini bukan sahaja di Malaysia, ia berlaku di seluruh dunia.
Namun, Abang Mat persoalkan apa langkah yang kita ambil untuk mengatasi masalah tersebut. Negara luar telah mempunyai perancangan besarnya tersendiri untuk menghadapi pemanasan global ini dan mengurangkan impaknya pada negara mereka.
Malangnya, Malaysia masih bergelut dengan isu yang bukan keutamaan sehingga meminggirkan masalah itu. Sekali lagi Abang Mat menyeru agar Jawatankuasa Parlimen diberikan peranan dalam membantu merencana dan mengatasi impak pemanasan global di negara kita.
Hanya dengan peranan yang dimainkan oleh Jawatankuasa Parlimen mampu mengorak langkah untuk menguruskannya.
Ternyata cadangan-cadangan Abang Mat telah berjaya memperlihatkan kepada orang awam bahawa peranan atau martabat Parlimen boleh dan perlu diangkat ke tempat yang lebih tinggi.
Pastinya, perbahasan ini atas semangat yang diambil setelah Abang Mat yang merupakan salah seorang Presiden parti komponen PH yang memeterai perjanjian persefahaman bersama (MoU) kerajaan Malaysia.
Antara perjanjian tersebut adalah mereformasikan institusi Parlimen sesegera mungkin. Jelas sekali, pemeteraian perjanjian itu bukan melumpuhkan peranan pembangkang untuk mengasak kerajaan BN-PN ini tetapi menyerang dan menuntut dengan cara yang lebih halus ibarat tarik rambut dalam tepung, tepung jangan berselerak, rambut jangan putus.
Abang Mat sempat mengimbau perbualannya bersama mendiang Karpal Singh, di mana beliau bertanyakan mendiang, bila YB melawat kawasan, mendiang menjawab, melawat kawasan adalah tugas ahli majlis, saya peguam dan Ahli Parlimen duduk di Parlimen.
Abang Mat telah membuktikan bahawa walau apa pun posisinya, beliau akan tetap berbakti dan melakukan kebaikan kepada rakyat, seiring dengan kata-kata hikmah, ‘Kita mestilah mempunyai keinginan untuk melakukan kebaikan kepada seluruh dunia.’
Tahniah Abang Mat.
*SYAZMIR HARIZ BIN NOORAZALAN merupakan AJK Biro Komunikasi Pemuda AMANAH Selangor dan Ketua Komunikasi Pemuda AMANAH Selangor.