Malaysia Dateline

Ucapan Najib melawat Anwar di HKL kembali tular, nama banduan ini sohor kini di Twitter

Petikan ucapan Najib Razak yang melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 2017 kembali ditularkan pengguna Twitter.

Rakaman ucapan Najib semasa ucapan dalam Perhimpunan Agung Umno pada 2017 itu dianggap warganet sebagai karma kepada bekas Perdana Menteri yang sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun itu.

Menerusi petikan video itu, Najib secara sinis menyebut dia dan isterinya, Rosmah Mansor “melawat” Anwar atas sifat kenalan lama.

“Saya hanya melawat, sebab itu saya bawa isteri bersama. Tapi keikhlasan kami itu, tampaknya diperli dipantun pula,” kata Najib.

Kenyataan Najib lima tahun lepas itu antara yang dibangkitkan warganet walaupun lebih tiga minggu menghuni Penjara Kajang.

Perkataan “Najib” muncul sohor kini di Twitter dengan kira-kira 11,000 ciapan setakat jam 2 petang tadi.

Perhatian rakyat Malaysia terhadap Najib susulan dakwaannya mengalami kesan teruk berikutan ubat darah tinggi baharu yang diambilnya.

Walau bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kemudiannya menjelaskan Najib diberi jenis ubat sama seperti sebelum ini ketika banduan itu menerima rawatan di HKL.

Pengguna Twitter @FreeMsian pula mengalu-alukan tindakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang mesra dipanggil KJ merujuk Najib sebagai ‘banduan’.

“KJ menggelarnya banduan patut dialu-alukan. Najib adalah banduan, antara penjenayah paling teruk yang pernah dilihat di negara ini,” ciapnya.

Semalam, Khairy antara lain menyebut Kementerian Kesihatan akan memberi rawatan dan perkhidmatan terbaik kepada semua banduan yang memerlukan rawatan dan bukan hanya kepada Najib semata-mata.

“Kami akan beri rawatan yang terbaik kepada banduan, kerana ia adalah tanggungjawab dan tugas KKM,” katanya.

Dalam masa sama, Ahli Parlimena Pekan itu juga disebut-sebut pengguna Twitter dengan mengaitkan kes cukai tertunggak berjumlah lebih RM1.7 bilion.

“Apa yang berlaku kepada semua cukai Najib dan ahli keluarganya yang belum dibayar? Mengapa cukai pendapatan hanya datang selepas rakyat biasa?

“Apakah rancangan memulihkan cukai yang belum dibayar ini” soal seorang pengguna Twitter.

Baca juga Tunggu lampu hijau pun boleh tertidur, ini antara 7 perkara yang boleh dibuat pesakit narkolepsi

Baca juga Pusat sembelih ayam kotor dan meloyakan, premis diarah tutup