Malaysia Dateline

Pas seperti ada pakatan sulit dengan Umno kata Nga Kor Ming

Ucapan takziah Nga Kor Ming guna kalimah Al-fatihah undang kecaman

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dikecam rata-rata pengguna laman media sosial setelah memuatnaik ucapan takziah kepada mangsa serangan keganasan di Christchurch dengan menggunakan kalimah Al-fatihah dan Husnul Khatimah.

Status yang dimuatnaik pada 15 Mac lalu mendapat perhatian ramai apabila seorang pengguna yang menggunakan nama Muhammad Mat berkongsi pautan tersebut dan mendakwa kalimah yang digunakan ahli politik bukan islam itu sebagai tidak sensitif dan bermuka-muka.

“Kita berbesar hati jika dia mengucapkan takziah semata-mata,” katanya.

Menerusi perkongsian tersebut, seorang pengguna, dikenali sebagai Ahmad turut bersetuju dengan dakwaan itu.

“Perbuatan beliau menyebut (Al-fatihah) adalah sesuatu yang hanya layak disebut oleh orang beriman. Dalam keadaan lain, jika beliau menunjukkan penentangan terhadap Islam, ia merupakan perbuatan memperlekehkan agama,”katanya.

Pengguna lain, Salmy turut beranggapan jika Kor Ming benar-benar percaya pada syahid dan al-fatihah, maka beliau boleh ucapkan perkataan itu.

“Walaubagaimanapun jika beliau tidak percaya kepada perkara itu, maka beliau adalah penipu dan mengada-ada,”katanya.

Sementara itu, salah seorang komentar dikenali sebagai Rozaini berpendapat pengerusi parti DAP itu cuba menunjukkan bahawa beliau memahami islam walhal beliau sendiri tidak yakin dan kelihatan mempersendakan Islam.

Pengguna yang dikenali sebagai Puteri pula berkata beliau akan mempertahankan hal yang kemungkinan nampak remeh di mata masyarakat supaya tidak sama seperti di negara jiran, Indonesia.

“Saya tidak memandang remeh soal ini untuk mengelakkan berlakunya kekeliruan dalam agama dan budaya seperti yg berlaku di negara jiran kita Indonesia. Mereka di sana kelihatan serupa sehingga susah hendak kenal yang mana Islam dan yang mana bukan Islam,” katanya.

Namun, disebalik celaan yang dilemparkan, terdapat netizen yang mempertahankan niat dan ucapan Ahli Parlimen Teluk Intan itu.

Netizen yang dikenali sebagai Umah menerusi komen beliau bersetuju mengatakan kemungkinan Kor Ming mempunyai jurutulis seorang muslim.

Manakala Pengguna yang dikenali sebagai Romie pula berpendapat pengerusi DAP Perak itu hanya terikut-ikut dengan trending.

“Dari kata-kata itu, jelas menunjukkan beliau simpati pada mangsa yang terlibat. Ambil yang positif sahaja. Kita doakan beliau dapat hidayah untuk masuk Islam dan tinggalkan penyembahan berhala,” katanya.

Pengguna, Zaidah pula mempersoalkan tindakan mereka yang mengaku Islam tetapi cuba mencetuskan nilai negatif atas kalimah yang diucapkan orang bukan Islam.

“Saya tidak faham kenapa kita yang mengaku sebagai Islam mencetuskan satu landasan yang negatif atas kalimah mulia diucapkan oleh seseorang yang mungkin suatu hari nanti mendapat hidayah dari Allah,”katanya.