Malaysia Dateline

UDA agih RM100,000 wang zakat kepada institusi memerlukan

UDA Holdings Bhd (UDA) hari ini mengagihkan sumbangan wang zakat berjumlah RM100,000 kepada 10 institusi berkelayakan di sekitar Johor Bahru di bawah program ‘UDA Cares – Enriching Life @ South’.

Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Hartanah UDA Noor Azmi Salleh berkata sumbangan zakat itu diharap dapat meringankan beban golongan memerlukan terutama dalam membuat persiapan menghadapi tahun baharu.

Berucap pada majlis penyerahan cek sumbangan zakat di Ibu Pejabat UDA, di Tampoi, dekat sini hari ini, beliau berkata program itu merupakan program tahunan UDA sejak 2016 dan dijalankan di empat buah negeri iaitu Selangor, Terengganu, Pulau Pinang dan Johor.

Menurutnya, jumlah wang zakat yang diagihkan kepada institusi memerlukan di keempat-empat buah negeri itu bernilai RM1.5 juta pada tahun ini.

Antara penerima sumbangan wang zakat ialah Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Johor Bahru, Sekolah Kebangsaan Ladang Pendas, Yayasan Bandaraya Johor Bahru, Masjid Al-Falah Bandar Baru Uda, Surau Padi Malinja Bandar Baru Uda, Surau An-Nur Pangsapuri Ledang Bandar Baru Uda, Surau Taman Skudai Kanan dan Tapak Surau Fasa 5B Bandar Uda Utama.

— BERNAMA