UEC: Abim cadang pinda kurikulum sebelum diiktiraf

UEC: Abim cadang pinda kurikulum sebelum diiktiraf

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mendesak satu kajian ke arah meminda kurikulum Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) agar selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan amat perlu dititikberatkan terlebih dahulu.

Antaranya termasuklah meningkatkan standard subjek Bahasa Melayu dalam UEC supaya setaraf dengan subjek Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta merombak kurikulum dalam subjek Sejarah agar ia menepati silibus yang ditetapkan, serta beberapa pertimbangan lain yang perlu diberikan perhatian.

Setiausaha Agungnya Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata,sekiranya kurikulum di luar dari aliran pendidikan kebangsaan seperti UEC diiktiraf secara rasmi, maka sijil yang ditawarkan pendidikan lain yang mengikut acuan pendidikan lain akan turut mendesak perkara yang sama.

Muhammad Faisal Abd Aziz

“Desakan ini hanya akan mencetuskan kekeliruan yang boleh menggugat kesepaduan orientasi pendidikan negara.

“Berkemungkinan besar polarisasi kaum dan agama akan terus melebar sekiranya persijilan seperti ini yang berada di luar skop dan aliran kebangsaan diterima,” ujarnya dalam kenyataan.

Baru-baru ini terdapat cadangan untuk mengiktiraf UEC sebagai antara syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan sektor awam diperbincangan banyak pihak.

Walau bagaimanapun, Abim menegaskan bahawa kurikulum dan peperiksaan antarabangsa seperti _IGCSE, SAT, International Baccalaureate_, dan lain-lain kurikulum dan peperiksaan yang bersifat merentasi negara dan luas pengiktirafannya termasuk kurikulum UEC sedia ada boleh dan perlu diberikan ruang dalam sistem berpendidikan di Malaysia sebagai kandungan tambahan kepada mata pelajaran teras yang diwajibkan ke atas semua sekolah.

“Abim juga berpendirian bahawa kemasukan ke IPTA wajib memenuhi syarat seperti mana yang diperuntukkan dalam kurikulum kebangsaan yang memerlukan kelulusan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

“Selain keperluan kelulusan mata pelajaran lain daripada peperiksaan yang diiktiraf oleh IPTA berkenaan.

“Malah, Abim sentiasa menegaskan bahawa kualiti pensijilan SPM perlu ditambah baik dengan penambahan elemen soalan yang menekankan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) secara beransur-ansur serta mengambil kira skema pemarkahan yang lebih terbuka, dan cara penyoalan yang lebih kontekstual seperti dalam pentaksiran antarabangsa _Programme for International Student Assessment (PISA).” jelasnya.

Justeru, pindaan kepada kurikulum UEC agar selari dengan asas-asas kenegaraan Malaysia seperti ditegaskan dalam objektif Dasar Pendidikan Kebangsaan, iaitu “… yang akan memenuhi keperluan negara, serta memupuk perpaduan negara melalui pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik selaras dengan prinsip-prinsip Rukunegara”perlu dilaksanakan dengan perbincangan dan kerjasama pihak Kementerian Pendidikan serta pihak-pihak berkepentingan dalam bidang pendidikan, katanya.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS