UEC: Adakah satu ancaman?

UEC: Adakah satu ancaman?

Isu pengiktirafan kerajaan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) semakin mendapat perhatian daripada pelbagai pihak. Ada yang dilihat menyokong pengiktirafan tersebut kerana mereka merupakan sebahagian penyokong kerajaan kini manakala ada pula yang masih ragu-ragu sama ada ingin turut serta menyokong atau sebaliknya dan ada juga yang menolak pengiktirafan ini.

Sungguhpun saya boleh katakan kedua-dua gabungan politik terbesar iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 mencadangkan pengiktirafan sijil tersebut dalam manifesto masing-masing.

Namun, kita tidak boleh menolak tepi pandangan pihak yang mendakwa diri mereka sebagai kuasa ketiga (king maker) iaitu Gagasan Sejahtera (GS) pimpinan parti Pas yang dilihat menolak sekeras-kerasnya pengiktirafan tersebut.

Saya mendapat perkhabaran bahawa beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berasaskan Islam akan mengadakan satu perhimpunan aman berkenaan kononnya mereka melihat hak Melayu dan Islam tercabar di bawah penguasa kini iaitu Pakatan Harapan.

Bermula dengan langkah pengumuman pengiktirafan kerajaan negeri Melaka pimpinan Adly Zahari terhadap lepasan UEC untuk diterima masuk sebagai penjawat awam di peringkat kerajaan negeri dengan syarat mendapat kredit dalam subjek Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), polemik ini dilihat semakin mencuri tumpuan rakyat Malaysia khususnya golongan Melayu yang beraliran konservatif.

Untuk pengetahuan semua, kerajaan negeri Sarawak juga telah mengiktiraf UEC pada tahun 2015 yang terpakai kepada perkhidmatan awam, biasiswa dan institusi pendidikan di negeri tersebut.Malah kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang yang berpotensi menjadi sebagai sebuah model kepada pembangunan ekonomi yang mapan juga telah mengiktiraf UEC.

Tidak perlu lagi diterangkan bagaimana pelaksanaan UEC di Malaysia kerana saya amat yakin beberapa sumber yang boleh dipercayai telah menerangkannya di media-media sosial.

Kita sedia maklum isu yang paling berat sekali dimomokkan kepada umum adalah berkenaan bahasa pengantar pengajaran yang dikatakan bakal menenggelamkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan sekaligus meranapkan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Rakyat Malaysia perlu tahu bahawa Bahasa Malaysia juga menjadi salah satu subjek yang dipelajari di Sekolah-Sekolah Persendirian Cina. Silibus-silibus pelajaran di sekolah-sekolah ini juga dipantau oleh Kementerian Pendidikan. Malah yang paling menarik sekali adalah terdapat juga Kelab Bahasa Malaysia ditubuhkan di sekolah-sekolah ini dan pihak sekolah juga turut bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menganjurkan pertandingan forum Bahasa Malaysia setiap tahun.

Dasar Pendidikan Kebangsaan

Berkenaan pelanggaran Dasar Pendidikan Kebangsaan pula, ingin saya jelaskan di sini bahawa pihak-pihak yang menentang pengiktirafan UEC ini barangkali terlupa atau tersilap pandang salah satu matlamat dasar tersebut yang dikemaskini pada tahun 2004 iaitu memberi peluang-peluang pendidikan kepada semua warganegara Malaysia.

Ini bermaksud bahawa tidak ada diskriminasi terhadap kaum, agama ataupun jantina dalam memberikan ruang untuk menimba ilmu pengetahuan kepada sesiapa sahaja yang bergelar warganegara Malaysia yang bebas dan merdeka.

Saya ingin mengingatkan pelopor kepada gerakan-gerakan penentang ini agar sentiasa sedar bahawa penubuhan Malaysia ini berpaksikan kepada perpaduan dan kerjasama yang erat diantara kesemua kaum di Semenanjung dan jangan pernah dilupakan rakan-rakan kita daripada Sabah dan Sarawak.

Dasar-dasar kerajaan Pakatan Harapan bukanlah menekan kepentingan kaum Melayu beragama Islam dan mesra kepada bukan Melayu seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak tetapi setiap dasar tersebut adalah dibuat untuk menambah baik sistem sedia ada dan dilakukan mengikut kemampuan serta menegakkan keadilan iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Malangnya, apa yang diperkatakan oleh mereka seperti tidak tepat kerana saya tidak melihat adakah benar-benar hujahan daripada ‘pendekar-pendekar’ Bani Melayu ini bersandarkan kepada fakta atau mereka sedang memulakan suatu langkah populis untuk mendapatkan perhatian semata-mata.

Dikalangan penentang UEC

Saya merasakan bahawa para ‘pendekar’ ini sewajarnya melakukan sesi dialog bersama pihak pengurusan Sekolah-Sekolah Persendirian Cina ini iaitu Dong Zong dengan mengadakan satu perbincangan yang lebih gentle diantara kedua-dua belah pihak. Bukankah itu dilihat suatu pendekatan yang lebih harmoni dan sejahtera?

Tidak salah untuk membangkang sesuatu usul yang dicadangkan oleh kerajaan tetapi pastikan lah segala hujahan atau bangkangan itu betul-betul bernas dan wajar juga disediakan satu penyelesaian yang dilihat cukup meyakinkan sebagai alternatif kepada cadangan pihak kerajaan.

Barulah kita boleh menggelar ‘pejuang-pejuang’ tersebut sebagai pembangkang yang konstruktif dan tidak hanya membangkang membabi buta.

Melayu perlu berani menerima cabaran dan persaingan. Di era Malaysia Baharu, saya lihat tidak munasabah lagi untuk Bangsa Melayu hidup dalam persekitaran yang membuatkan mereka takut akan kehilangan kuasa semata-mata sedangkan perkara ini tidak benar sama sekali.

Sekiranya kita mempersoalkan sistem pendidikan persendirian Cina hanya kerana bahasa pengantar pembelajarannya, mengapa kita tidak turut mempersoalkan sistem sekolah persendirian antarabangsa yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar?

Adakah mempelajari pelbagai bahasa itu akan mendatangkan kesan buruk kepada pembangunan modal insan yang berguna kepada masa depan negara? Adakah kita mahu mendiskriminasi seorang pelajar yang cemerlang subjek-subjek Sains seperti Fizik, Kimia dan Biologi di sekolah persendirian Cina hanya kerana bahasa pengantar yang berbeza sedangkan nilai intelektual pelajar tersebut mungkin akan berguna kepada negara pada masa depan untuk lebih maju dalam bidang sains dan teknologi?

Nilai intelektual individu tidak harus diukur dengan bahasa yang dipelajari semata-mata tetapi yang lebih penting adalah bagaimana tahap penguasaan individu terhadap kandungan ilmu tersebut.

Adalah lebih penting kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pendidikan cuba untuk mengkaji dengan lebih mendalam sistem pendidikan terkini sama ada perlu diubah dan dikemaskini mengikut keperluan semasa. Kita tidak boleh nafikan sebahagian ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka untuk bersekolah di sekolah persendirian adalah kerana mereka hilang kepercayaan kepada sistem pendidikan di Malaysia.

Kementerian Pendidikan disaran untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyemak semula dan melakukan penelitian dan cadangan penambahbaikan tentang bagaimana untuk mengembalikan kewibawaan sistem pendidikan negara agar menjadi pilihan nombor satu ibu bapa di Malaysia.

Penggunaan bahasa kebangsaan dalam memupuk perpaduan tidak dinafikan adalah satu pendekatan yang baik untuk menjamin kestabilan negara. Namun, usahlah lupa bahawa Malaysia ini dibentuk dan dikenali di serata dunia kerana masyarakat yang berbeza latar belakang kaum dan agama serta berkongsi impian yang sama iaitu menjadikan ibu pertiwi ini lebih baik pada masa hadapan.

*Penulis adalah Exco Pemuda PH Melaka merangkap AJK  DAPsy Melaka.

COMMENTS

Wordpress (0)