UEC: Exco Negeri Kedah cadang pelajar pelajari subjek sejarah

UEC: Exco Negeri Kedah cadang pelajar pelajari  subjek sejarah

Dr Salmee Said

Seorang Anggota Exco kerajaan negeri Kedah hari ini mencadangkan agar mata pelajaran sejarah juga harus dikuasai oleh pelajar yang mengambil Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di negara ini.

Selain daripada keputusan kredit dalam Bahasa Malaysia yang diperlukan bagi mereka memohon melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi Awam (IPTA).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Komunikasi dan Teknologi Maklumat Kedah Dr Salmee Said berkata, sebagai warganegara Malaysia, pelajar berkenaan perlu mempelajari serta menguasai mata pelajaran itu supaya mereka mengetahui sejarah pembentukan negara ini.

“Ya (mata pelajaran) sejarah penting…pada saya para pelajar perlu mempelajari sejarah di negara kita dan menguasainya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Lestari Program My Rukun Negara dan Program ‘Recycle For Life’ di Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Kuala, Alor Setar, hari ini seperti dilapor Bernama.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn Bhd Ir Mhd Saiful Anuar Zainal.

Dr Salmee berkata demikian bagi mengulas tentang keperluan mata pelajaran sejarah dalam UEC sekiranya mahu diiktiraf kerajaan.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching dipetik sebagai berkata hanya kepujian Bahasa Malaysia diperlukan untuk pelajar sekolah menengah persendirian Cina yang mengambil UEC untuk masuk ke IPTA.

Teo turut dipetik sebagai berkata syarat kepujian Bahasa Malaysia berkenaan tidak termasuk mata pelajaran sejarah ataupun mata pelajaran lain.

Bagaimanapun, Dr Salmee berkata sebagai Exco yang juga bertanggungjawab dalam hal ehwal pendidikan di negeri ini beliau menyokong apa sahaja diputuskan Kementerian Pendidikan nanti berhubung isu berkenaan.

“Jadi kita ikut keputusan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), apabila KPM menyatakan bahawa cukup BM (Bahasa Malaysia) sahaja untuk membolehkan pelajar yang ada sijil UEC ini untuk masuk ke IPTA, kita terima itulah,” katanya.

Beliau berkata isu pengiktirafan UEC oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) juga tidak pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kedah setakat ini.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote