UEC: Hilangkan identiti kebangsaan, kata Mapim

UEC: Hilangkan identiti kebangsaan, kata Mapim

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berpandangan pengiktirafan sijil EUC yang dilaksanakan oleh sekolah persendirian  Cina di negara ini akan akhirnya akan menghilangkan identiti kebangsaan negara.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata,UEC adalah sijil yang mengenepikan soal Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pembentuk ciri negara ini.

Selain itu ujarnya, kurikulum bahasa pengantara yang digubal secara berlawanan dengan arus perdana Bahasa Kebangsaan akan menghakiskan nilai keMalaysiaan yang selama ini telah diusahakan bersama oleh pelbagai pihak melibatkan pelbagai kaum.

“Akta Pendidikan 1969 dirumus dan diluluskan di Parlimen telah menetapkan Bahasa Kebangsaan (Melayu) sebagai medium pengantara dalam semua institusi pendidikan yang berdaftar.

“Sejak itu semua kaum menerima hakikat bahawa Bahasa Melayu merupakan bahasa teras membentuk sahsiah dan jatidiri negara ini.

“Malah sejak kemerdekaan lagi ruang pendidikan vernikular telah dibenarkan serta diberi peruntukan oleh kerajaan, ” katanya lagi.

Mohd Azmi yang juga merupakan Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras ) turut berkata, melahirkan pelajar yang sebati dengan Bahasa Kebangsaan disamping mengizinkan bahasa ibunda masing-masing dipelajari adalah suatu kesepakatan yang cukup unik dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

Tegasnya, isu pokok ialah bukan soal UEC yang mereka mahu diiktiraf sahaja, sebaliknya mereka mahu mengubah dasar keseluruhan pendidikan negara ini dengan mengenepikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantara.

Sekaligus katanya, mengubah jatidiri nasional dikalangan pelajar dan perlu diberi perhatian yang amat serius oleh kerajaan.

“Persoalannya kenapa hal ini muncul dalam usaha akita memupuk generasi Malaysia dengan kebersamaan jatidiri nasional melalui Bahasa Kebangsaan di negara ini.

“Dengan hanya mewujudkan Bahasa Melayu dalam pengajaran sedangkan subjek lain diajar dalam Bahasa Cina jelas membuktikan mereka mahu menunjukkan Bahasa Kebangsaan tidak penting untuk membentuk masyarakat dalam negara yang mempunyai sejarah membangun sistem pendidikan.

“Perlu diingatkan sesungguhnya para pemikir dan penggubal sistem pendidikan negara ini sudah sekian lama meneliti apakah implikasi menjadikan bahasa lain dari Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantara, ” tambah beliau lagi.

Sejajar dengan itu katanya, UEC bukan sahaja harus ditolak malah kerajaan harus menyemak kelulusan sekolah persendirian yang menggunakan bahasa selain Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantara.

Beliau juga berkata, pengiktirafan UEC akan membuka pintu kepada pelbagai rombakan teras pendidikan negara yang akhir menjadikan pendidikan negara ini tanpa ciri kebangsaan lagi.

“Sekolah persendirian Cina harus menerima dasar negara dan tahu implikasi kepada matlamat integrasi nasional dalam pembinaan negara jika generasi muda melalui pendidikan yang gersang dari penguasaan Bahasa Kebangsaan.

“Isu UEC bukan sekadar isu bahasa pengantara semata-mata, sebaliknya melibatkan teras pembentuk sahsiah nasional.

“Oleh kerana itu kerajaan harus tegas dan terus menobatkan, mempertahan serta memartabatkan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantara yang telah terbukti mampu menjadi bahasa lingua franca sejak sekian lama,”saran beliau lagi.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS